Berita

Cuepacs gesa hospital swasta segera terima, rawat pesakit COVID-19

- Diterbit 18 Januari 2021 10:54 AM MYT

PENGENDALI hospital swasta digesa agar segera memberi bantuan dengan menerima dan merawat pesakit COVID-19 di hospital masing-masing bagi mengurangkan kesesakan di hospital dan fasiliti kesihatan milik kerajaan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat berkata kini adalah masa terbaik untuk hospital swasta menjalankan tanggungjawab menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia dan tidak bersikap menolak segala masalah yang tidak boleh dikendalikan ke hospital kerajaan.

“Cuepacs tidak mahu pengumuman yang dibuat oleh kerajaan hanya disambut oleh sebahagian kecil sahaja daripada pengendali hospital swasta atau sekadar buat cukup syarat saja.

“Pada masa ini semua pihak perlu berkongsi kepakaran dan tenaga untuk menyelamatkan negara daripada pandemik COVID-19,” menurutnya dalam kenyataan bagi mengulas mengenai pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata pihak pengendali hospital swasta perlu mengeluarkan garis panduan yang jelas dengan segera kepada kerajaan dan orang awam mengenai kesediaan mereka untuk menerima dan merawat pesakit COVID-19.

Sementara itu, Adnan berkata jaminan perdana menteri untuk menambah lebih 3,500 anggota kesihatan yang akan mula bertugas pada hujung bulan ini memberi sedikit kelegaan kepada petugas kesihatan.

Bagaimanapun, katanya, Cuepacs berharap lebih ramai anggota dapat ditambah untuk membantu petugas sedia ada, memandangkan jumlah 3,500 itu sebenarnya hanya mampu mengurangkan sedikit beban tugas kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apatah lagi jumlah kes harian yang dicatatkan setiap hari sangat tinggi.

“Peningkatan kes jangkitan COVID-19 setiap hari yang begitu ketara sekali menyaksikan sistem kesihatan awam di negara kita hampir lumpuh… fasiliti dan petugas kesihatan tidak lagi mampu untuk merawat pesakit-pesakit COVID-19 yang mencecah angka ribu setiap hari pada ketika ini.

“Ia bukan saja menyaksikan kes-kes pesakit lain tidak dapat dikendalikan dengan berkesan, bahkan pesakit COVID-19 yang disahkan positif tetapi bergejala rendah terpaksa melakukan rawatan secara kendiri di rumah,” katanya sambil menambah, peningkatan kes turut memberi tekanan kepada petugas kesihatan yang rata-ratanya sudah terlalu letih hingga hampir kehilangan motivasi untuk terus bertugas.

Beliau berkata pada pandangan Cuepacs situasi itu sangat membimbangkan kerana kelumpuhan sistem kesihatan negara boleh menjadikan keselamatan rakyat terdedah kepada risiko yang lebih buruk.

Justeru, katanya, Cuepacs berharap kerajaan dapat menyegerakan penyaluran peruntukan untuk menambah lebih ramai bilangan petugas kesihatan yang baharu agar dapat meredakan kegelisahan petugas kesihatan sedia ada yang sudah terlalu penat dan letih. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas