Berita

Cubaan dua lelaki seludup 840 kg benih kerang ke Thailand gagal

- Diterbit 8 Februari 2021 7:25 AM MYT

CUBAAN dua lelaki cuba menyembunyikan hampir 840 kilogram benih kerang di dalam lori membawa kenderaan berat untuk diseludup ke Thailand gagal apabila mereka ditahan Jabatan Perikanan Perak awal pagi tadi.

Ketua Cawangan Pengurusan dan Perlindungan Sumber (CPS) Jabatan Perikanan Perak Salehhudin Ismail berkata taktik bagi mengaburi mata pihak berkuasa itu dikesan dalam Operasi Inter-Agensi antara Cawangan Perlindungan Sumber Kampung Acheh dan Pasukan Polis Marin Kampung Acheh di Pantai Remis pada 4 pagi.

Katanya, hasil risikan mendapati lori berkenaan yang dipandu seorang lelaki berumur 31 tahun dan seorang kelindan berumur 22 tahun itu dipercayai dalam perjalanan untuk ke Sungai Petani, Kedah dengan membawa 42 guni kerang bernilai RM58,800.

“Kerang berkenaan akan ditransit sementara di Sungai Petani sebelum dibawa menggunakan lori lain untuk diseludup masuk ke negara jiran.

“Sebaik tiba di negara jiran, benih kerang tersebut akan dijual pada harga empat kali ganda dengan anggaran keseluruhan kesemuanya bernilai RM200,000,” katanya dalam sidang media di pejabat CPS Kampung Acheh, di sini, hari ini.

Salehhudin berkata operasi yang dijalankan selama tiga hari sejak Sabtu lepas turut mengesan pelbagai kesalahan termasuk pengutipan kerang secara haram dan tangkapan bubu naga di perairan Pangkor sehingga ke Pantai Remis.

Katanya, pada hari pertama operasi di kawasan Kebun Kerang Lekir, tujuh lelaki berumur 17 hingga 40 tahun ditahan melibatkan 32 kes berkaitan kutipan benih kerang secara haram dan pihaknya merampas empat guni benih kerang bersama 18 tangguk bergalah, tujuh tangguk tangan serta lima sampan dengan nilai keseluruhannya RM134,250.

“Operasi hari kedua iaitu semalam, kita menahan sembilan lelaki berumur 44 hingga 48 tahun melibatkan empat kes bubu naga dan merampas 303 bubu naga dan empat sampan berpendaftaran nombor palsu dengan nilai rampasan berjumlah RM224,880,” katanya.

Salehhudin berkata kesemua kes berkenaan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2002. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas