Berita

COVID: Warga Malaysia sudah terima dos pertama vaksin antara 36 kes baharu di Singapura

SINGAPURA sedang menyediakan pelan hala tuju dan dijangka akan melaksanakan lebih banyak kelonggaran bagi membolehkan lima orang atau lebih makan bersama, bermula 12 Julai depan.
- Diterbit 25 Mei 2021 6:31 AM MYT

SEORANG rakyat Malaysia berusia 49 tahun yang telah menerima dos pertama vaksin pada 21 Mei adalah antara 36 kes baharu COVID-19 dilaporkan di Singapura pada Isnin, menurut Kementerian Kesihatan republik itu.

Dirujuk sebagai kes 63653, pekerja penghantaran di AST Logistics Pte Ltd itu, juga merupakan antara kes terbaru berkait dengan kluster pusat beli-belah JEM dan Westgate.

Setakat ini kluster tersebut mempunyai 50 kes disahkan.

“Lelaki itu sering menghantar barang di Westgate,” kata kementerian dalam data lengkapnya yang dikeluarkan malam tadi.

Selain beliau, dua wanita Malaysia yang lain juga dikaitkan dengan kluster sama.

Kes pertama kluster tersebut melibatkan seorang wanita Singapura berusia 53 tahun yang disahkan dijangkiti COVID-19 pada 7 Mei.

Tiga kes baharu yang dilaporkan pada Isnin juga melibatkan rakyat Malaysia, satu diklasifikasikan kes import dan dua lagi berkait dengan kluster penghantar makanan McDonald yang kini mencatat 10 kes disahkan.

Setakat tengah hari Isnin, republik ini melaporkan 61,860 kes dengan 2,767 diklasifikasikan  kes tempatan, 4,574 diimport, dan 54, 519 babitkan penghuni asrama.

Singapura melaporkan 30 kluster terbuka setakat ini, yang terbesar melibatkan kluster Terminal 3 LapanganTerbang Changi dengan 108 kes.

“Pada masa ini terdapat 244 kes masih dirawat di hospital, kebanyakannya pesakit stabil atau semakin pulih, tiga keadaan kritikal di unit rawatan rapi dan 15 memerlukan bantuan oksigen,” kata kementerian itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas