Berita

COVID-19: Kes harian dijangka stabil pada 3,000 dalam tempoh seminggu – KP Kesihatan

DR NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 19 Januari 2021 1:22 PM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan kes harian COVID-19 di negara ini akan stabil pada 3,000 kes dalam tempoh seminggu.

Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata selepas tempoh itu, KKM akan menilai semula keperluan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk dua minggu lagi.

“Jangkaan kes harian yang didapati seminggu lepas adalah kerana pendedahan pada virus dalam tempoh inkubasi dua minggu dan sekarang ini kes-kes itu dapat dikesan.

Kes makin meningkat walaupun kita telah menjalankan PKP 2.0 pada 13 Jan lalu tetapi kesan PKP itu masih belum dapat dilihat,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata KKM juga menjangkakan peningkatan kes dalam tempoh dua tiga hari akan datang.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata pelaksanaan PKP di seluruh negara kecuali Sarawak adalah wajar kerana pertambahan kes termasuk di Lembah Klang adalah hasil daripada aktiviti rentas negeri dan daerah yang menjadi antara punca peningkatan kes di Semenanjung.

Beliau juga berkata, KKM juga akan melihat perkembangan dalam sehari dua ini sebelum melihat keperluan untuk memperketatkan PKP termasuk dalam sektor ekonomi.

Mengenai penularan kes yang masih berterusan di depoh tahanan dan penjara, Dr Noor Hisham berkata jangkitan masih berlaku dalam kalangan banduan dan petugas kerana faktor kesesakan dan pemindahan tahanan sama ada ke mahkamah atau penjara.

Katanya sehingga semalam, terdapat 28 kluster dilaporkan dalam gelombang ketiga dan daripada jumlah itu, 20 kluster adalah kes indeks dan tujuh kluster dilaporkan melalui saringan bersasar.

Daripada jumlah itu katanya, 14 kluster melibatkan banduan sebagai kes indeks, lima kluster  melibatkan  pegawai penjara dan dua kluster melibatkan anggota polis.

Tambahnya sehingga 18 Jan, sebanyak 53,357 saringan telah dijalankan dan 16,692 didapati positif. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas