Berita

ATM sahkan terdapat warga ATM positif COVID-19 – Affendi

KUALA LUMPUR, 15 Jan -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen Tan Sri Affendi Buang ketika berucap pada majlis perutusan ulung Panglima ATM ke-21 di Wisma Pertahanan hari ini.
--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
- Diterbit 19 Januari 2021 1:25 PM MYT

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan terdapat warga ATM yang disahkan positif COVID-19, namun perkara itu ditangani sewajarnya mengikut prosedur dan arahan yang dikeluarkan kepada setiap pemerintahan oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata, ini adalah termasuk tindakan awal oleh anggota jika mempunyai tanda-tanda jangkitan, serta aspek kawalan penularan COVID-19 yang perlu dilaksanakan oleh setiap pasukan, termasuk pengesanan kontak rapat.

“Adalah tidak dinafikan bahawa risiko kebolehjangkitan wabak ini dalam kalangan warga ATM, adalah sama seperti yang berlaku dalam masyarakat Malaysia.

“Walau bagaimanapun, melalui pengarahan yang dikeluarkan, setiap anggota diingatkan untuk memahami aspek kawalan kendiri,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata ini termasuk tindakan yang perlu diambil bagi mengurangkan risiko kebolehjangkitan sama ada semasa bertugas, mahupun menguruskan kehidupan sosial bersama keluarga dan komuniti berhampiran.

“ATM sentiasa memastikan setiap peringkat keanggotaan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, bagi memastikan kesiagaan mereka berada ditahap terbaik sebilang masa, kerana mereka merupakan petugas barisan hadapan negara,” katanya.

Affendi menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi, yang boleh mewujudkan kebimbangan atau kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat.

Hari ini, tular di aplikasi WhatsApp bahawa terdapat kes positif COVID-19 dalam kalangan warga ATM, dan mesej berkenaan turut menyatakan terdapat kelewatan tentang tindakan awal yang sepatutnya dilaksanakan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas