CHUBB-E Balas Dendam Pada Siapa?

CHUBB-E Balas Dendam Pada Siapa?

PENGALAMAN sering diejek, dihina dan dipandang rendah, penyanyi dan komposer muda Chubb-E kini bangkit membalas dendam.

Namun, bentuk balas dendam yang dilakukan oleh Chubb-E adalah secara positif dengan mengasah bakatnya dalam bidang muzik.

Buktinya, Chubb-E mengabadikan kisahnya itu dalam lagu berjudul Padan Muka ciptaannya sendiri.

CHUBB-E balas dendam dalam lagu

“Lagu ini adalah kisah benar mengenai diri saya yang pernah dipandang rendah, diejek dan orang tak percaya boleh pergi jauh. Malah, kawan-kawan sekolah juga tidak percaya dengan impian saya. 

“Mereka pandang rendah dengan cita-cita saya. Sebab mereka berasakan terlalu pandai dan saya pula lemah dalam akademik. 

“Namun apabila sudah berjaya dan mencapai sasaran, tiba-tiba ramai datang termasuk yang pernah ejek dan pandang rendah. 

“Dalam masa sama, peminat di luar sana boleh menjadikan lagu ini sebagai inspirasi dan kaitkan dalam diri masing-masing jika melalui perkara sama,” katanya yang pernah menghasilkan single Aku Tak Kisah dan Kita Cuma Kawan. 

HARAPAN Chubb-E agar mereka yang pernah dibuli agar bangkit untuk buktikan kebolehan diri.

Menurut Chubb-E, lagu Padan Muka bergenre urban Hip Hop itu dilancarkan secara rasmi pada 15 Mei lalu dan diterbitkan di bawah syarikat rakaman FutureMusic Entertainment. 

“Mengikut perancangan asal, lagu ini dicipta untuk saya berkolaborasi dengan penyanyi wanita asal luar negara. 

“Masa jumpa dia, saya memang nak bekerjasama dengannya. Jadi, saya cuba cipta satu lagu yang sesuai dengan kami. Sebab itu ambil masa lama sebab nak cari nota lagu yang sesuai.

“Namun, lama kelamaan artis itu menghilang. Dalam masa sama, dia ada masalah tersendiri. Syarikat rakaman pula mendesak untuk saya keluarkan juga lagu ini dengan artis lain. Tapi, bagi saya lagu ini tak sesuai dengan penyanyi lain. 

“Apabila fikir semula mungkin bukan rezeki saya untuk ‘feat’ dengan sesiapa. Jadi, saya keluarkan saja lagu ini secara solo,” luah Chubb-E atau nama sebenarnya Muhammad Sharul Ashlyn AG Ashrul Affandy,20. yang turut terbabit dalam program Dansa Sing bersama Youngsters Crew

Chubb,-E memulakan langkah sebagai anak seni sejak 2014 ketika menyertai pertandingan realiti Ceria Pop Star musim kedua. 

Video muzik lirik lagu Padan Muka boleh ditonton di saluran YouTube FutureMusic Entertainment. – WILAYAHKU

 

CATEGORIES
TAGS