Selebriti

“Gali ilmu bisnes sedalam mungkin” – Wany Hasrita

- Diterbit 13 Jun 2020 9:29 AM MYT

PPENULARAN wabak Covid-19 bukan sahaja menjejaskan ekonomi di Malaysia malah kesannya turut dirasai di seluruh dunia sekali gus menyebabkan ramai yang menganggur.

Terbaharu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengumumkan kadar pengangguran di Malaysia dijangka meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih 860,000 orang penganggur bagi tahun 2020.

Situasi ini bukan sahaja membimbangkan rakyat, malah golongan artis turut terkena tempiasnya.

Enggan membiarkan lebih ramai yang kehilangan sumber pendapatan, penyanyi popular Wany Hasrita, berharap mereka yang terkesan bangkit meneruskan kehidupan dengan memikirkan bisnes yang sesuai dijalankan.

“Bagi saya, ilmu itu sangat penting. Kalau boleh usah buat sesuatu tanpa ilmu. Namun, apa yang paling penting kita perlu segera lakukannya demi ekonomi diri. Jangan duduk saja atau menunggu peluang datang. Usah menunggu bulan jatuh ke riba. Berusahalah!

“Kalau tidak ada perancangan, mulakan apa sahaja. Terus bertanya kepada kawan-kawan atau orang sekeliling yang tahu pasal bisnes atau cari maklumat di Internet. Manalah tahu idea itu datang tanpa kita sangka,” ujarnya kepada Wilayahku.

Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 27 berkata, setelah nekad untuk menjalankan sesuatu bisnes, perlulah disusuli dengan perancangan untuk memasarkannya.

“Zaman sudah berubah. Pemasaran secara dalam talian (online) perlu diperkukuhkan misalnya dari segi media sosial. Hakikat yang harus diterima kini, kebanyakan bisnes dijalankan secara dalam talian.

“Usaha yang gigih disertai kumpulan yang pandai mengatur strategi juga sangat penting,” ujar pengasas produk kesihatan dan kecantikan Jellyta yang bakal muncul dengan bisnes pakaian tidak lama lagi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas