Utama

Butang Panik: Petugas terkejut panggilan daripada menteri

TANGKAP layar memaparkan Shahidan Kassim (kanan) menguji butang panik sambil disaksikan Muhammad Azmi Mohd Zain di Putrajaya.
- Diterbit 17 September 2021 3:01 AM MYT

SEORANG petugas Putrajaya Command Centre (PCC) terkejut selepas menjawab panggilan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang bertindak menguji sendiri tahap kesiapsiagaan butang panik di Putrajaya.

Shahidan bertindak demikian sewaktu meninjau keadaan di Sisiran Tasik Presint 1 sebelum mencuba butang panik dipasang di kawasan berkenaan.

“Assalamualaikum. Saya ni Shahidan, menteri. Tengah buat percubaan. Okay terima kasih. Ada nampak gambar saya?” katanya dalam nada bersahaja ketika menguji fasiliti itu.

Paparan wajah Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain turut kelihatan dalam video berdurasi 47 saat yang dimuat naik menerusi akaun Facebook Perbadanan Putrajaya (PPj).

Rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) pada papan pemuka di butang tersebut menunjukkan petugas itu mengambil masa selama lima saat untuk menjawab panggilan sejurus selepas siren berbunyi.

Shahidan tersenyum berpuas hati dengan respons pantas pusat berkenaan kemudian bertindak membuka seketika pelitup muka bagi meyakinkan petugas yang menjawab panggilan tersebut.

“Okay, sudah nampak muka saya, betul kan?” jelasnya semasa meyakinkan staf itu sambil tersenyum ketika meluangkan masa berjalan kaki sekitar pukul 6 petang di laluan tebing tasik tersebut.

Menurut PPj, terdapat sejumlah 89 butang panik dan 462 unit CCTV dengan tiang butang panik yang dilengkapi lampu siren berwarna merah akan menyala dan berbunyi kuat apabila ditekan di samping kamera tersebut mampu merakam jelas wajah pengadu.

Peranan butang tersebut membolehkan orang awam berhubung terus dengan pusat arahan induk PPj sekiranya berlaku kecemasan khususnya jika telefon bimbit gagal berfungsi bagi memudahkan bantuan daripada pelbagai agensi sama ada polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya.

Kemudahan butang kecemasan itu disediakan di lokasi strategik merupakan antara inisiatif Bandar Pintar dan Bandar Selamat Putrajaya yang sudah wujud lebih dua dekad lepas dan bilangan tersebut sedang ditambah dari masa ke semasa di seluruh Putrajaya. – WILAYAHKU – SABRINA SABRE

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas