Berita

KWP tubuh Jawatankuasa khas tangani masalah mental

JALALUDDIN melawat fasiliti PKRC di Hotal Royale Chulan baru-baru ini. JALALUDDIN melawat fasiliti PKRC di Hotal Royale Chulan baru-baru ini.
- Diterbit 17 September 2021 2:46 AM MYT

JAWATANKUASA khas akan ditubuhkan bagi menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan gelandangan di ibu kota.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, jawatankuasa khas itu akan meneliti dan mewujudkan garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) pelan berkaitan yang sesuai.

“Saya menerima banyak laporan, selain mereka yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan dan isu sosial lain. Ada kalangan gelandangan terancam dengan penyakit mental akibat tekanan disebabkan pandemik COVID-19.

“Saya sudah minta sebuah jawatankuasa khas untuk membincangkan bagaimana mengatasi masalah ini, mewujudkan garis panduan serta SOP bagi membantu golongan terbabit,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Kuarantin Rawatan Risiko Rendah (PKRCS) Megaklinik Zahran, Hotel Royale Chulan pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Megaklinik Zahran, Datuk Mohd Nafidz Abdul Razak dan Pengurus Besar Hotel Royale Chulan, Badrul Rezal Baharuddin.

Menurut Jalaluddin, pihaknya sudah mengesan antara 45 hingga 50 kes membabitkan masalah itu dan turut menjangkakan jumlah akan bertambah jika ia tidak dibendung segera.

“Jawatankuasa khas ini sudah bermesyuarat tadi dan saya meminta supaya satu laporan terperinci dibentangkan.

“Hasil laporan itu kelak diharap dapat memudahkan pelaksanaan kita dalam menangani masalah ini,” katanya.

Jalaluddin berkata, KWP akan bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk pakar kesihatan mental agar masalah tersebut dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Dalam pada itu, Jalaluddin turut berpuas hati dengan fasiliti yang disediakan di PKRC tersebut dan pihaknya turut menyatakan kesediaan untuk meluluskan permohonan berkaitan bagi memberikan rawatan kepada pesakit COVID-19 yang berada pada tahap 3 dan 4. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas