Berita

Bung Moktar yakin GRS mampu pulihkan semangat rakyat Sabah

- Diterbit 28 September 2020 8:15 AM MYT

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yakin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu memulihkan semula semangat rakyat terhadap kemampuan kerajaan negeri membela kebajikan mereka.

Justeru, beliau berkata GRS yang menghimpunkan Perikatan Nasional (PN), BN dan Parti Bersatu Sabah akan memulakan langkah untuk memastikan nasib rakyat Sabah terbela sebaik kerajaan baharu dibentuk selepas Datuk Hajiji Noor selesai mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri yang baharu esok.

“Kami (GRS) telah membuat persetujuan (untuk menamakan Hajiji sebagai ketua menteri) atas dasar kesedaran dan keyakinan bahawa kerajaan negeri ditubuhkan ini mampu memulihkan semangat rakyat.

“Ia satu tanggungjawab besar untuk kerajaan negeri (baharu) ini pada masa akan datang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perjumpaan tertutup GRS di sebuah hotel di sini, hari ini.

Sidang media berkenaan turut dihadiri Hajiji yang juga Pengerusi PN, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung PBS Datuk Jahid Jahim.

Dalam pada itu, Bung Moktar yang menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag berkata GRS juga komited untuk memberi tumpuan kepada usaha membangunkan Sabah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu turut mengingatkan rakyat di negeri berkenaan supaya tidak lagi bermain politik serta memikirkan masalah negeri Sabah.

Terdahulu, GRS mengumumkan Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah sebagai calon ketua menteri Sabah yang baharu dan dijangka mengangkat sumpah di Istana Negeri, esok.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada Sabtu, Hajiji berjaya mempertahankan kerusi DUN Sulaman yang disandangnya sejak 1990 dengan majoriti 3,099 undi. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas