Berita

Bukan tawar Tun Mahathir tapi cadang Anwar sertai Kabinet – Khalid Samad

KHALID pada sidang akhbar khas di Menara Seri Wilayah, Putrajaya petang tadi.
- Diterbit 23 Februari 2020 9:39 AM MYT

PUTRAJAYA – Pengarah Komunikasi Parti Amanah negara (Amanah), Khalid Abd. Samad menafikan beliau telah menawarkan Tun Dr. Mahathir Mohamad memilih mana-mana jawatan dalam Kabinet sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri.

Sebaliknya beliau menjelaskan, pihaknya sendiri mengemukakan cadangan agar Anwar dilantik sebagai menteri dalam Kabinet Dr. Mahathir untuk menguatkan Pakatan Harapan (PH).

“Tentang mesyuarat Majlis Presiden ada yang tularkan kononnya saya bersikap biadap terhadap Tun Dr. Mahathir dengan menawarkan kalau beliau letak jawatan, maka kita akan lantik Tun sebagai Menteri Kewangan, Menteri Pendidikan atau sebagainya.

“Saya menafikan membuat kenyataan yang sebegitu rupa dan sesiapa yang kononnya membuat kenyataan itu dan menjadi sumber kepada maklumat songsang itu, saya minta supaya dia beritahu diri dia siapa, kerana saya pun nak tahu ahli Majlis Presiden yang mana satu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Khalid mengulas mengenai isu
yang tular di media sosial mendakwa beliau bertindak biadap terhadap Dr. Mahathir ketika mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, Jumaat lalu.

Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan memberi amaran pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sumber yang mengatakan dirinya membuat tawaran jawatan menteri kepada Dr. Mahathir sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri.

Khalid berkata, beliau berharap orang ramai menolak berita tersebut kerana ia datang daripada sumber yang tidak jelas dan dakwaan itu adalah palsu.

Sebaliknya, apa yang berlaku dalam mesyuarat Majlis Presiden PH kata Khalid, beliau mencadangkan agar Anwar perlu berada dalam Kabinet bagi mempastikan kesinambungan dari pentadbiran Dr. Mahathir kepada Anwar.

“Anwar boleh pegang jawatan Menteri Pendidikan yang sedang dipangku oleh Dr. Mahathir ketika ini, Menteri Kewangan atau Timbalan Perdana Menteri manakala Kak Wan (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) kekal sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Dari segi strategi politik, saya merasakan bagi tunjukkan kemantapan dan kesungguhan PH untuk kekal berkuasa, Anwar mesti berada dalam Kabinet dan itu akan menangani masalah ketakutan pelabur dan cadangan ini saya serahkan kepada Anwar dan Tun Mahathir untuk fikiran,” katanya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas