Berita

Pintasan Saloma memukau pandangan

ORANG ramai mengambil keputusan mengunjungi Pintasan Saloma pada waktu malam.
- Diterbit 23 Februari 2020 5:33 AM MYT

PINTASAN Saloma atau ‘Saloma Link’ yang dibuka pada 5 Februari lalu kini menjadi tarikan baharu di ibu kota sekali gus menggalakkan orang ramai menggunakan laluan pejalan kaki tersebut.

Laluan pejalan kaki sepanjang 370 meter yang menelan kos RM30.24 juta itu menghubungkan Kampung Baru dengan kawasan sekitar Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Mereka yang tinggal di Kampung Baru hanya memerlukan tempoh masa antara 10 hingga 15 minit dengan keadaan selesa untuk pergi ke tempat kerja di kawasan sekitar KLCC. Apa yang menarik perhatian ramai ialah reka bentuk bumbung jejantas tersebut yang berkonsepkan sirih junjung.

Peminat-peminat fotografi menjadikan lokasi tersebut untuk merakamkan pemandangan indah dan berwarna-warni pada waktu malam hasil dari lampu LED pada bumbung jejantas itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, Datuk Zulkurnain Hassan, jejantas itu mengadaptasikan konsep ciri-ciri warisan Melayu yang merupakan teras pembangunan semula Kampung Baru.

“Selain diperindahkan dengan bumbung yang unik, ia juga dipasang dengan perlampuan festival supaya lebih menarik dan menjadi tarikan kepada orang ramai.

“Sesuai dengan idea asal pembinaannya untuk mempertingkatkan potensi pembangunan di kawasan Kampung Baru, ia juga selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya berkarbon rendah,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas