Berita

Tiada sebab Tun Mahathir pilih kerajaan pintu belakang

KHALID pada sidang akhbar khas di Menara Seri Wilayah, Putrajaya petang tadi.
- Diterbit 23 Februari 2020 1:13 PM MYT

PUTRAJAYA – Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abd. Samad percaya bahawa tidak ada sebab bagi Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk meninggalkan gabungan Pakatan Harapan (PH) untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, Dr. Mahathir tidak perlu berbuat demikian memandangkan mesyuarat Majlis Presiden PH telah bersetuju dengan permintaan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) agar beliau sendiri menentukan tarikh peralihan kuasa dilakukan.

“Saya ada dengar khabar angin (pembentukan kerajaan pintu belakang tanpa Amanah, PKR dan DAP) tapi saya rasa tidak ada sebab Tun Mahathir akan bersetuju (tubuh kerajaan baharu) kerana kita telah bersetuju dengan permintaan Bersatu dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.

“Mungkin ada yang tidak puas hati tapi, saya rasa ia bukan Tun Mahathir kerana bagi saya tidak ada sebab bagi beliau untuk bersama gabungan yang lain kerana kita telah bersetuju dengan apa yang dimintanya iaitu supaya beliau diberi kuasa untuk menentukan peralihan itu dan ia terpulang kepadanya.

“Jadi kalau kita sudah setuju dengan itu, apa sebab perlu Tun Mahathir untuk mencari atau bersama dengan golongan hendak bersama dengan Pas dan UMNO,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini petang ini.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, Amanah tidak akan mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya umum lalu sehingga menubuhkan kerajaan PH.

“Rakyat memilih PH untuk membentuk kerajaan, mana-mana usaha yang hendak membentuk kerajaan melalui pintu belakang adalah satu pengkhiantan dan kita tidak pernah bersama dalam usaha itu.

“Amanah tidak ikut mana-mana pihak dan kita pegang prinsip dan parti-parti yang berprinsip akan bersama dengan Amanah,” katanya.

Tambah Khalid, beliau menyatakan demikian kerana Tun Mahathir sendiri telah bangun menentang penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin BN ketika berkuasa.

“Beliau bersyarah panjang mengenai pengkhianatan yang dilakukan oleh UMNO terhadap orang Melayu, salah guna kuasa dan sebagainya,” katanya. WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas