Berita

Bot penumpang Labuan-Menumbok dibenar beroperasi

- Diterbit 20 Mei 2020 2:44 PM MYT

LABUAN – Perkhidmatan bot penumpang dari Labuan ke Menumbok, Sabah yang digantung sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac telah beroperasi semula hari ini.

Namun ia hanya terhad kepada bot berjadual.

Ketua Pegawai Operasi syarikat pengurusan terminal itu, LDA Holdings Sdn. Bhd., Eddy Herman berkata, langkah meneruskan semula perkhidmatan tersebut diluluskan Jabatan Marin di Labuan serta Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.

Beliau berkata, destinasi yang diluluskan hanyalah Labuan-Menumbok-Labuan manakala destinasi lain seperti Sipitang, Sabah dan Limbang, Sarawak belum boleh beroperasi.

“Ketika ini, bot lebih besar yang telah diberikan jadual dibenarkan beroperasi manakala perkhidmatan bot laju penumpang dengan muatan 14 orang masih belum dibenarkan beroperasi,” katanya.

Eddy berkata, arahan telah dikeluarkan kepada pengusaha bot untuk hanya mengangkut penumpang dan mematuhi prosedur operasi standard Kementerian Kesihatan berhubung pengangkutan laut.

“Semua penumpang dikehendaki menjalani tapisan kesihatan di terminal feri Labuan dan juga sejurus tiba di jeti Menumbok,” katanya.

Dalam pada itu, Sabah pada 9 Mei telah mengumumkan bahawa ia membenarkan perniagaan runcit, makanan, pengangkutan awam dan taman awam dibuka semula ketika ia melonggarkan sekatan ke atas aktiviti ekonomi di bawah fasa kelima PKP.

Semua jenis perkhidmatan pengangkutan awam, laut dan logistik turut dibenarkan beroperasi semula termasuk bas, e-hailing, jeti awam dan swasta, feri, bot untuk disewa serta perkhidmatan sokongan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas