Berita

Punca wanita mengandung dijangkiti Covid-19 disiasat

Gambar hiasan
- Diterbit 20 Mei 2020 12:15 PM MYT

PUTRAJAYA – Punca jangkitan Covid-19 terhadap wanita mengandung yang disahkan positif selepas pulang ke Kuala Krai, Kelantan untuk bersalin sedang disiasat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya turut mengesan kontak rapat wanita terbabit.

“Kita akan mengambil tindakan lanjut dan mengenal pasti sama ada wanita itu mendapat jangkitan di kawasan zon merah atau sebaliknya.

“Sekarang, wanita itu telah diasingkan dan diberi rawatan. Apa yang pasti kita sedang menjalankan tindakan seterusnya untuk kenal pasti kontak rapat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, wanita lingkungan 30-an itu sedang mengandung 35 minggu dan pulang ke kampung untuk melahirkan anak keduanya.

Bagaimanapun, ujian saringan dijalankan di sebuah klinik kesihatan mendapati wanita itu positif Covid-19.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin mengesahkan satu kes baharu dikesan di Kelantan membabitkan wanita mengandung.

Katanya, saringan terhadap ahli keluarga wanita itu adalah negetif namun semua diarahkan menjalani kuarantin.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kes baharu direkodkan di Kedah hari ini, membabitkan penuntut institut pengajian tinggi (IPT).

Susulan itu, pihaknya sudah mengenal pasti sembilan kontak rapat pelajar berkenaan.

“Pelajar itu kini sedang diasingkan dan kita masih menyiasat bagaimana dia boleh dijangkiti Covid-19, ” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas