Berita

BNM umum OPR kekal 3 peratus

- Diterbit 24 Januari 2024 4:26 PM MYT

JAWATANKUASA Dasar Monetari (MPC), Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan pada tahap tiga peratus.

BNM berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi.

“MPC tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah BNM, ekonomi global terus berkembang, didorong oleh permintaan dalam negeri berikutan keadaan pasaran pekerja yang teguh.

Jelansya, terdapat beberapa tanda bahawa sektor elektrik dan elektronik (E&E) semakin pulih, namun perdagangan global terus lemah, sebahagiannya disebabkan oleh perbelanjaan yang terus beralih daripada barangan kepada perkhidmatan serta sekatan perdagangan yang berterusan.

“Walaupun ekonomi China terus menunjukkan tanda-tanda keadaan bertambah baik, pemulihan ini kekal sederhana berikutan kelemahan dalam pasaran harta tanah.

“Inflasi keseluruhan dan inflasi teras global menurun sedikit pada bulan-bulan kebelakangan ini, namun terus melebihi purata. Pada peringkat global, meskipun pendirian dasar monetari dijangka kekal ketat pada tempoh terdekat, kitaran pengetatan bagi kebanyakan bank pusat telah mencapai tahap tertinggi.

“Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, terutamanya disebabkan oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan volatiliti pasaran kewangan global yang ketara,” jelasnya.

Katanya lagi, dari segi ekonomi negara, anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku keempat telah mengesahkan bahawa pertumbuhan keseluruhan pada tahun 2023 berkembang mengikut jangkaan.

“Pada masa hadapan, pertumbuhan dijangka meningkat pada tahun 2024, disokong oleh pemulihan eksport dan perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan.

“Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah, ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat. Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang terus dilaksanakan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional.

“Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar.

“Sementara itu, kemungkinan pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada jangkaan serta pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek sedia ada dan projek baharu,” ujarnya.

Menurut BNM, seperti dijangka, inflasi keseluruhan dan inflasi teras terus menurun pada suku keempat, disebabkan terutamanya oleh tekanan kos yang lebih rendah berikutan keadaan permintaan yang semakin stabil.

“Secara keseluruhan, inflasi keseluruhan dan inflasi teras pada tahun 2023 berada pada kadar yang dijangkakan, masing-masing berpurata pada 2.5% dan 3.0% pada tahun itu. Pada tahun 2024, inflasi dijangka kekal sederhana, mencerminkan secara amnya keadaan kos dan permintaan yang stabil.

“Risiko terhadap prospek inflasi terus sangat dipengaruhi oleh perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global, yang penting, hasrat kerajaan untuk mengkaji semula kawalan harga dan subsidi pada tahun 2024 akan mempengaruhi prospek keadaan inflasi dan permintaan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas