Berita

Bina, kukuh persahabatan melalui program Rumah Terbuka Aidilfitri – POMPKL

AZLISHAM Abu Hasan (lima dari kanan) bersama sebahagian ahli POMPKL yang hadir memeriahkan rumah terbuka Aidilfitri yang dianjurkan di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
- Diterbit 15 Mei 2022 7:25 AM MYT

RUMAH Terbuka Aidilfitri menjadi platform tepat bagi Pertubuhan Orang Muda Pahang di Kuala Lumpur (POMPKL) membina dan mengukuhkan persahabatan sesama anak watan negeri yang kini berada di ibu kota.

Pengerusinya, Azlisham Abu Hasan ketika ditemui berkata, program dianjurkan julung kali itu mendapat sambutan positif apabila lebih 150 tetamu hadir meraikan program di Warung Anjung Seni, Bandar Tun Razak.

DATUK Dr Suhaimi Ibrahim (tengah, baju biru) ketika hadir ke Majlis Hari Raya Aidilfitri Anak Pahang, pada 14 Mei baru-baru ini.

Katanya, selain merapat hubungan sesama anak kelahiran negeri Tok Gajah, program dirancang sebagai acara tahunan itu turut membuka ruang berkongsi idea dan terokai peluang ekonomi bersama.

Lebih signifikan, majlis dianjur bersempena ulang tahun ke-10 penubuhan POMPKL ini, turut diadakan khas meraikan anak Pahang dan ahli keluarga, seterusnya mengeratkan ukhwah yang sedia terjalin.

“Sejak didaftar pada Disember 2012, kami POMPKL telah menjayakan pelbagai aktiviti riadah sosial, sukan dan aktiviti kebajikan dengan menggembleng tenaga serta masa bersama mengaktifkan pertubuhan dalam program berimpak positif.

“Ini membolehkan anak Pahang menetap atau bertugas di Lembah Klang serta Kuala Lumpur, berpeluang bangun kendiri selain wujudkan jalinan sosial ekonomi sesama ahli pertubuhan yang dianggotai berbagai latar ahli,” katanya pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Anak-Anak Pahang, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Yayasan Koperasi Belia Malaysia, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim yang turut beramah mesra dengan kenalan sambil menikmati aneka juadah dan menu makanan tradisi Pahang.

Mengulas lanjut, Dr Suhaimi turut memuji inisiatif diambil POMPKL dalam usahanya merapatkan ukhwah di samping membina rantaian ekonomi dan sosial warga Pahang di perantauan.

“Usaha kondusif sebegini perlu diterapkan berterusan selain terokai peluang ekonomi seperti perniagaan yang boleh dimanfaat secara usahasama kita, kerana prospeknya agak besar serta realistik dijayakan dengan adanya kerjasama sepasukan,” ujarnya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas