Berita

Jejambat Jalan Tun Razak dibuka esok

SHAHIDAN (tengah) memotong reben sebagai simbolik melancarkan jejambat Jalan Tun Razak hari ini.
- Diterbit 14 Mei 2022 6:30 AM MYT

BERMULA esok (15 Mei), jejambat yang menghubungkan Jalan Tun Razak ke Bulatan Kampung Pandan sudah boleh digunakan sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya di kawasan itu, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

“Jejambat ini juga bagi memberi laluan kepada pemandu yang keluar dari Jalan Bukit Bintang.

“Ia juga menghubungkan ke pintu masuk dan keluar lebuh raya MEX,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan jejambat itu di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Rosida Jaafar, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Pengarah Naza Engineering and Construction Sdn Bhd, Tan Sri Mohd Hussin Abdul Hamid.

Beliau berkata, rancangan sedang dibuat untuk menghubungkan jejambat itu ke Lebuhraya Setiawangsa-Pantai yang sedang dalam pembinaan.

Dilancarkan pada 20 Julai 2017, projek bernilai RM492.5 juta itu sepatutnya siap pada 8 Julai 2019.

Bagaimanapun, projek itu mengalami beberapa kelewatan, antaranya termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

Jejambat tiga lorong itu sepanjang 2.8km bermula di hadapan kelab Golf Diraja Selangor sebelum berakhir di Kampung Pandan.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas