Artikel

Bersenam di Taman Tasik Titiwangsa

PENGUNJUNG beriadah dengan berbasikal di Taman Tasik Titiwangsa.
- Diterbit 27 Disember 2019 5:00 AM MYT

TAMAN Tasik Titiwangsa sudah dibuka semula. Kunjungi dan raikanlah tempat riadah itu sempena tahun baharu 2020. Kemudian sepanjang tahun, bersenamlah di Taman Tasik Titiwangsa. Bagi yang tidak dapat melakukannya setiap hari, lakukanlah pada hujung minggu. Kalau tidak dapat dua hari, lakukanlah seminggu sekali, mungkin hari Ahad. Walaupun tentunya pada hari Ahad, orang lebih ramai.

Kalau Tasik Titiwangsa itu jauh, pergilah ke taman-taman riadah lain di Kuala Lumpur yang berhampiran dengan kediaman masing-masing. Umpamanya Tasik Perdana, Taman KLCC, Tasik Permaisuri, Tasik Metropolitan dan Taman Bukit Kiara.

Sesungguhnya kemuncak kehidupan warga kota adalah senaman pagi Ahad yang tentu tumpuannya adalah taman-taman riadah itu.

Umumnya sudah diterima bahawa kesihatan manusia moden bandar terletak pada senaman. Tanpa senaman, seseorang bukan saja tidak sihat tetapi mengundang maut.

Kepentingan bersenam itu sudah setaraf dengan pemakanan yang baik. Angkanya ialah 80 peratus diet dan 20 peratus bersenam.

Pemakanan dan senaman adalah dua tiang bagi kelangsungan hidup manusia moden bandar. Ini kerana gaya hidup manusia moden adalah kurang pergerakan.

Sedangkan reka bentuk manusia adalah untuk pergerakan sehingga akhir hayat. Sebahagian kecil warga kota membakar lemaknya di gimnasium-gimnasium yang canggih.

Jadi dua tempat ini, gimnasium dan taman merupakan medan bagi pembakaran lemak. Itupun majoriti warga kota tidak bersenam. Mereka pasti akan akhirnya membebankan perkhidmatan kesihatan negara.

Dalam zaman pramoden, manusia hidup dengan bertani. Sebelum zaman pertanian, manusia berburu, beribu-ribu tahun gaya hidup manusia adalah berburu dan bertani yang kesemuanya menyebabkan terevolusi reka bentuk tubuh pada pergerakan dan pembakaran lemak.

Bayangkan Kuala Lumpur pada zaman pramoden. Kehidupannya adalah atas kehidupan pertanian. Usaha pertanian dilakukan di Gombak, Hulu Kelang dan Ampang yang mana hasilnya dibawa melalui Sungai Gombak dan Sungai Klang untuk diturunkan di Pangkalan Lumpur sebelum kemudiannya dibawa ke muara Sungai Klang.

Kemudian datang industri perlombongan yang muncul di Ampang, Petaling, Cheras dan Kepong. Kesemuanya memerlukan tenaga manusia dari tulang empat kerat melalui kerja-kerja secara kaedah mendulang dan kelong. Kemudian datang usaha perladangan yang juga menuntut manusia keluar bangun sebelum subuh untuk menoreh, kutip getah susu, digilingkan menjadi keping getah sebelum diangkat untuk dijual.

Maka warga Kuala Lumpur ketika itu kurus-kurus belaka dan tidaklah perlu bersenam. Kerja itu pasti memenatkan, makan pun berselera dan tidur pun lena.

Pada masa itu Tasik Titiwangsa adalah salah sebuah daripada banyak lombong yang terdapat di kawasan sekitar Setapak hinggalah ke Datuk Keramat. Pada tahun 1960-an dan 1970-an, nama Titiwangsa pun belum ada.

Malah Banjaran Titiwangsa pun belum disebut dengan nama itu. Orang hanya sebut kawasan sekitar itu sebagai kawasan Jalan Pahang.

Jalan Pahang pada masa itu dikira bermula daripada simpang Jalan Tuanku Abdul Rahman yang asalnya bernama Batu Road di Chow Kit hinggalah persimpangan Jalan Gombak dan Jalan Setapak.

Jalan Pahang dinamakan demikian kerana ia merupakan jalan menuju Pahang. Jalan-jalan di sekitarnya juga dinamakan dengan tempat di Pahang seperti Jalan Temerloh, Jalan Mentakab dan Jalan Kuantan.

Pada zaman sebelum merdeka, menamakan nama jalan adalah mudah. Batu Road adalah nama sempena Sungai Batu. Ia merupakan sungai yang turun dari Bukit Batu dan mengalir sehingga berjumpa dengan Sungai Klang. Di Bukit Batu ada gua besar yang kini dikenali sebagai Batu Caves. Kini orang sudah tidak mengenali Bukit Batu, ia dipanggil sebagai Batu Caves.

Asalnya keseluruhan kawasan yang dilalui Sungai Batu itu dipanggil Batu. Tetapi kini di bahagian hulu, ia dipanggil Batu Muda. Yang tinggal ialah nama kawasan Parlimen Batu yang awalnya meliputi Kepong ketika Wilayah Persekutuan belum diwujudkan.

Selepas merdeka, Batu Road menjadi jalan utama ibu kota dan ditukar namanya kepada Jalan Tuanku Abdul Rahman sempena nama Yang di-Pertuan Agong pertama.

Di simpang Batu Road di Chow Kit itu, terdapat Jalan Ipoh, Jalan Pahang dan Princes Road yang kemudian menjadi Jalan Raja Muda dan akhirnya Jalan Raja Muda Abdul Aziz.

Jalan Ipoh adalah jalan menuju Ipoh, Perak tetapi kemudian Jalan Ipoh dari simpang itu hingga ke simpang Jalan Segambut dinamakan Jalan Sultan Azlan Shah sempena nama Yang di-Pertuan Agong Kesembilan.

Asalnya Jalan Ipoh dikira dari simpang Chow Kit itu sampai ke Ipoh.

Tetapi kini ia bermula dari simpang Jalan Segambut dan berakhir di bulatan Kepong.

Banjaran

Apabila lombong berhampiran Jalan Pahang itu dibangunkan untuk menjadi taman tasik kedua penting Kuala Lumpur selepas Tasik Perdana, ia dinamakan Tasik Titiwangsa. Ia mengambil sempena nama Banjaran Titiwangsa yang sebahagian besarnya berada di Pahang.

Banjaran itu merupakan tulang belakang Semenanjung Malaysia. Ia berada bukan saja di Pahang tetapi juga di Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak serta menjadi sempadan antara negeri-negeri. Ia juga menjadi pusat rehat tanah tinggi iaitu Cameron Highlands, Frasers Hill dan Genting Highlands.

Pihak Inggeris menamakan banjaran ini Main Range yang diterjemahkan kepada Banjaran Besar. Ketika penulis bersekolah pada tahun 1960-an, ia masih bernama demikian.

Sekitar tahun 1970-an, barulah ia bernama Banjaran Titiwangsa. Nama ini cantik. Wangsa bermaksud gergasi atau makhluk besar. Titi itu adalah jambatan. Maka ia menggambarkan seolah-olah jambatan gergasi.

Maka dengan sempena nama banjaran itu lombong di Jalan Pahang turut dinamakan Tasik Titiwangsa.

Dari nama itu juga timbul kawasan-kawasan baharu bernama Wangsa Maju, Setiawangsa dan Keramat Wangsa di Kuala Lumpur.

Taman Tasik Titiwangsa mendapat sambutan orang ramai dan menjadi tumpuan bagi warga kota.

Lebih-lebih lagi dengan adanya tiga institusi budaya negara berhampiran dengannya iaitu Istana Budaya, Balai Seni Negara dan Perpustakaan Negara.

Pembukaan semula Tasik Titiwangsa dengan wajah baharu dan kemudahan lebih baik diharapkan dapat memberi semangat lebih hebat untuk warga kota mengharungi tahun 2020 yang lebih mencabar dan menuntut daya juang tinggi.

Sesungguhnya kehidupan kota menuntut semangat dan idea baharu yang mungkin dapat diperoleh dengan kita berjoging sekurang-kurangnya empat hari seminggu, Ahad, Selasa, Khamis dan Sabtu.

Diharapkan dengan bersenam di Tasik Titiwangsa, ia mengurangkan kunjungan ke kawasan di seberang Jalan Tun Razak iaitu, iaitu Hospital Kuala Lumpur.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas