Artikel

Tuah Ikeen dalam dunia peragaan

||
- Diterbit 27 Disember 2019 4:52 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

Jika dahulu wanita cantik yang dikenali sebagai Siti Nurasyikin Mohamad Tamin ini cekap menguruskan urusan pentadbiran di pejabat kini dia lebih memilih berada di hadapan kamera.

Mengakui pernah keliru untuk meninggalkan kerjaya sebagai Setiausaha demi mengejar peluang dalam bidang peragaan, namun dia tekad untuk mencuba bidang baharu.

IKEEN

Mesra disapa Ikeen, wanita kelahiran Tanjong Karang, Selangor ini agak beruntung kerana karier sebagai model mampu mencecah puluhan ribu ringgit hanya dalam tempoh sebulan.

Menyingkap permulaan kerjayanya empat tahun lalu, Ikeen pada permulaanya hanya sekadar mencuba nasib dengan menyertai pertandingan pencarian wajah anjuran Serindit Photo namun ternyata tuah menyebelahinya.

“Alhamdulillah, saya tersenarai ke peringkat akhir dan wajah saya mula tersebar di media sosial. Sejak itu, saya menerima banyak tawaran untuk memperagakan tudung, busana produk kecantikan dan sebagainya,’’ kata Ikeen.

Bermula dari itu juga, jadual Ikeen penuh dengan penggambaran dan kadang-kadang terpaksa ditolak kerana faktor masa. ‘‘Jadi, saya terpaksa melepaskan jawatan sebagai Setiausaha dan fokus terhadap bidang peragaan,’’ katanya.

Sungguhpun menerima banyak tawaran sebagai model, Ikeen mengakui dia masih meletakkan harga berpatutan untuk pelanggan yang menggunakan khidmatnya.

“Saya hanya mengenakan bayaran serendah RM200 sahaja bagi setiap slot selama satu jam. Kadang-kadang dalam sehari mendapat lebih daripada empat slot,” ujarnya.

Ditanya tentang perancangan kewangannya memandangkan pendapatan yang diterima agak lumayan, Ikeen mengakui dia perlu bijak mengurus wang.

“Tidak selamanya saya akan bergelar model. Jadi selagi ada peluang ini saya akan menggunakan dengan sebaik-baiknya. Saya juga berhasrat untuk membina label pakaian sendiri,” ujarnya yang hanya menerima tawaran memperagakan busana yang menutup aurat.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas