Artikel

Dunia pandang tinggi kepada Malaysia

TUN MAHATHIR ketika KL SUMMIT 2019.
- Diterbit 27 Disember 2019 5:03 AM MYT

SIDANG Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit) yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini menutup tirai tahun 2019. Sememangnya bukan suatu perkara yang mudah untuk menganjurkan sidang berskala antarabangsa dengan penyertaan 56 negara.

Kehadiran Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani; Presiden Turki, Recep Tayyib Erdogan dan Presiden Iran, Hassan Rouhani menunjukkan pemimpin dunia Islam itu memberikan dokongan kepada usaha Malaysia untuk merungkai permasalahan umat Islam.

Sidang itu meskipun bukanlah untuk menandingi OIC, ia berjaya mengumpul banyak pihak untuk menyampaikan suara blok Islam terutama membabitkan cabaran Islamofobia serta pendekatan baharu dalam berdepan teknologi dan pembangunan masa depan.

Malaysia sudah lama tidak menjadi tuan rumah kepada persidangan besar dunia.

Tahun 2003 menyaksikan Sidang Kemuncak OIC diadakan di Putrajaya sebelum Tun Dr. Mahathir Mohamad melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Sidang Kemuncak KL boleh dianggap sebagai ‘buah tangan’ penting Dr. Mahathir selain Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November 2020.

Sidang kemuncak itu bakal menyambut 16,000 anggota delegasi dari 21 negara anggota.

Jika KL Summit membincangkan isu umat Islam, APEC pula meletakkan Malaysia menjadi tumpuan dari aspek perdagangan kerana ia turut dihadiri pemimpin kuasa besar termasuk Amerika Syarikat (AS), Rusia dan China.

Ia juga bakal mencatatkan sejarah kerana Malaysia menjadi tuan rumah buat kali kedua APEC ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Malaysia mungkin mampu menjadi jambatan kepada usaha memulihkan perang dagang antara AS dan China yang telah banyak memberikan kesan kepada ekonomi dan pasaran serantau.

Kedatangan tahun 2020 juga sejajar dengan Tahun Melawat Malaysia yang pastinya menuntut usaha bersungguh-sungguh rakyat negara ini untuk menampilkan persekitaran yang baik bagi menyambut jutaan pelancong.

Ia bagus untuk meningkatkan kegiatan ekonomi negara ini sekali gus menjana pendapatan kepada rakyat.

Malaysia pada tahun 2020 juga bakal menjadi tumpuan dunia apabila Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Kota Buku Dunia.

Semoga ia dapat meningkatkan inisiatif untuk menjadikan kegiatan pencarian ilmu melalui pembacaan dipertingkatkan dan mendapat sokongan semua pihak. Selamat tahun baru 2020.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas