Berita

Belia WP sambut baik Inisiatif Wilayah Cakna 5.0

||||
- Diterbit 31 Mei 2021 11:47 PM MYT

JAWATANKUASA Tetap Hal Ehwal Bandar Majlis Belia Wilayah Persekutuan menyambut baik tujuh inisiatif baharu Kementerian Wilayah Persekutuan yang diumumkan Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa baru-baru ini.

Pengerusinya, Muhammad Dzulkarnain Roslan berkata, Inisiatif Wilayah Cakna 5.0 (IWC 5.0) yang diumumkan untuk komuniti setempat dilihat mampu membantu serta meringankan beban mereka yang terkesan.

“Kami sambut baik Saringan Komuniti Bersasar kerana kebanyakan warga emas serta kumpulan rentan ini mempunyai masalah kesihatan selain tergolong dalam kumpulan individu yang mudah dijangkiti.

“Oleh itu, dengan ­pelaksanaan ini kita dapat mencari pembawa penyakit senyap di samping mengawalnya daripada merebak ke tempat lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Beilau yang juga Naib Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) memberitahu, pemberian vaksin melalui Trak Vaksin Bergerak MYMedic@Wilayah juga merupakan perkara yang amat disenangi dan berharap pelaksanaannya dipermudahkan ke kawasan komuniti berbanding hanya memberi tumpuan di Pusat Pemberian Vaksin.

Selain itu, katanya, langkah kementerian mewujudkan kelas digital SPM Mahir Tutor iaitu sesi pembelajaran yang direkod khusus untuk calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), adalah tindakan pantas berikutan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sukar diikuti akibat kekangan capaian jalur lebar.

Jelasnya, selain mudah diakses pada bila-bila masa, penyediaan ‘live chat’ akan lebih memudahkan pelajar.

“Di kesempatan ini, kami juga ingin merakamkan ucapan terima kasih Q Menteri Wilayah Persekutuan serta pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ­kerana akan melaksanakan pemasangan wi-fi percuma bagi memastikan kelancaran pembelajaran,” ujarnya.
Bagi pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota pula, beliau memberitahu, ia dilihat ­amat memberangsangkan kerana Lorong Tunku Abdul Rahman dijadikan hub perniagaan kepada anak-anak muda di Wilayah Persekutuan.

Tambahnya, Badan Gabungan MBWP bersedia menjadi pemudah cara dan membantu komuniti ­khususnya golongan belia.– WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas