Berita

Belanjawan 2024: 33 Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi akan dilaksana melibatkan kos RM11.8 bilion

PROJEK berimpak tinggi jangka panjang ini amat mustahak bagi menjamin kemaslahatan rakyat.
- Diterbit 13 Oktober 2023 11:25 AM MYT

KERAJAAN akan melaksanakan sejumlah 33 Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi akan mula dilaksanakan dengan kos melibatkan RM11.8 bilion.

Antara projek terlibat termasuklah Rancangan Tebatan Banjir di Lembangan Sungai Pahang, Pahang; Sungai Langat Fasa 2, Selangor; Sungai Jelai, Kuala Pilah, Negeri Sembilan; Sungai Likas, Kota Kinabalu, Sabah; Kuching Fasa 2, Sarawak; Baling Fasa 2, Kedah; dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu, Sungai Kelantan
Fasa 2, Kelantan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) telah meletakkan jumlah peruntukan yang besar bagi membiayai projek tebatan banjir iaitu mencecah RM22 bilion.

“Projek berimpak tinggi jangka panjang ini amat mustahak bagi menjamin kemaslahatan rakyat dan membendung lebih banyak kehilangan nyawa dan kerugian harta benda.

“Kendatipun begitu, pendirian kerajaan tetap tegas
dalam soal perolehan, bahawa ia hendaklah dilaksanakan secara tender bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Parlimen hari ini.

Tambah Anwar, Surat Setuju Terima (SST) bagi 24 projek dijangka akan dikeluarkan tahun ini mulai Oktober 2023 melibatkan kos keseluruhan RM5.1 bilion manakala bakinya akan dikeluarkan SST pada suku tahun pertama 2024.

“Sementara itu, bagi mengurang risiko air bertakung dan banjir kilat, RM20 juta disediakan kepada 150 pihak berkuasa tempatan untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan parit dan longkang yang rosak.

“Kerajaan turut menyediakan RM563 juta bagi pembaikan cerun seluruh negara termasuk untuk program pemantauan, pencegahan dan pelaporan serta amaran awal melibatkan lebih 2,000 cerun yang berisiko tinggi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan kerajaan akan menambah baik kemudahan dan rawatan perubatan bagi anjing K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat serta menambah bilangan anjing pengesan K9 untuk Bomba, Polis dan Kastam dengan peruntukan RM5 juta. – WILAYAHKU – SYED HAZIQUE

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas