Berita

CDeP 2023 platform gilap kepakaran dalam bidang teknologi baharu

THAREK ketika sesi penyampaian taklimat Program CDeP 2023 di Cyberjaya baru-baru ini.
- Diterbit 13 Oktober 2023 11:34 AM MYT

Oleh: AZLAN ZAMBRY

SURUHANJAYA Mulitimedia Malaysia (MCMC) melalui Akademi MCMC Komunikasi dan memainkan peranan penting dalam menyediakan platform latihan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk pemegang taruh melalui Capacity Development Programme (CDeP) 2023.

Penasihat Akademi MCMC, Profesor Dr Tharek Abdul Rahman berkata sebagai badan pengawal selia terhadap industri dan teknologi berkaitan komunikasi negara, pihaknya bertanggungjawab untuk menyumbang semula kepada industri agar kelangsungan teknologi berkaitan dapat terus dimanfaat kepada masyarakat.

“Akademi MCMC misalnya mempunyai beberapa inisiatif yang telah sedia dilakukan, di mana kami mempunyai beberapa latihan untuk pemain industri dan pemegang taruh agar teknologi terbaharu yang berkaitan dapat dimanfaatkan kepada masyarakat.

“Kami juga sedang bekerjasama dengan beberapa universiti antaranya, kami sedang membangunkan beberapa kredensial mikro dengan beberapa universiti pada masa ini iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Multimedia (MMU) dan Kolej Universiti Antarabangsa Sedaya (UCSI),” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Menjelas lanjut, Tharek berkata sebagai sebuah badan kawal selia, pihaknya turut mengawal beberapa perkara dari segi tenaga kerja antaranya latihan berkaitan sumber manusia.

“Kebiasaannya kita sangat memerlukan individu di peringkat yang lebih tinggi dan peringkat kerja sebagai contoh, kerajaan banyak menekankan mengenai TVET yang berada di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan NIOSH untuk memastikan dan menambah baik kurikulum kerana di bawah akta SKMM, jika terdapat teknologi baharu yang diperkenalkan perlu melalui satu ujian dan ia menjadi satu standard.

“Itulah sebabnya walaupun apabila kita mahu melaksanakan 5G, mengikut akta itu, kita perlu mempunyai Piawaian Malaysia yang telah melalui Forum Piawaian Teknikal Malaysia Bhd (MTSFB) iaitu forum industri yang membangunkan piawaian tersebut sebelum 5G dilaksanakan.

“Selain itu, berkenaan pengemaskinian peningkatan kemahiran pula, kita bekerjasama dengan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas, untuk memasukkan kod teknikal yang standard seperti yang telah sedia ada ke dalam kurikulum mereka,” katanya.

Sementara itu, Perunding Perkhidmatan Pengalaman & Integrasi Sistem, Huawei Technology Malaysia, Carolyn Wai berkata pihaknya menyambut baik dan bertuah kerana dapat berkolaborasi dengan Akademi MCMC dalam membangunkan kepakaran tempatan menerusi perkongsian pintar di antara Huawei dengan MCMC.

CAROLYN WAI

“Kami bertuah kerana Akademi MCMC memberikan peluang yang baik untuk kami menyebarkan maklumat dan berkongsi ilmu kepada semua pihak melalui liputan yang lebih luas.

“Pada masa yang sama, perlu bekerja dua arah, set minda dan kemahiran teknikal kerana apa yang mereka pelajari sekarang juga tidak terlalu tepat pada masanya,” katanya.

Jelasnya, sebagai sebuah firma teknologi yang beroperasi di lebih 100 buah negara, Huawei teruja untuk bekerjasama dalam membantu untuk mengoptimumkan teknologi baharu dalam industri ini khususnya 5G dan bukan sahaja untuk bahagian seni bina teknikal tetapi juga untuk membantu industri itu memohon atau menerima pakai teknologi baharu.

“Huawei pada asasnya membelanjakan jumlah yang agak besar dalam R&D teknologi baharu di sini dan juga di pusat R&D di China. Pada asasnya Huawei ingin membuat penambahbaikan dan cara menguasai pasaran. Malahan, Huawei juga merupakan pemain utama dalam teknologi baharu dan kami mempunyai penyertaan aktif dalam komuniti di peringkat antarabangsa,” katanya.

Ujarnya, pada asasnya Huawei menekankan dan memfokuskan semula dari segi trend teknologi dan memastikan bahawa ia melalui individu yang tepat serta platform yang betul untuk mencapai perkara tersebut.

PEMAIN INDUSTRI SAMBUT BAIK CDEP 2023

PESERTA Program Pembangunan Kapasiti (CDeP) 2023 menyambut baik program latihan yang disediakan oleh Akademi MCMC yang memberikan pengetahuan tambahan terhadap pembangunan kerjaya serta kemahiran baharu.

Ketua Teknikal Fenomena Majukaya Sdn Bhd, Tan Boon How yang berpangkalan di Sabah menyifatkan penyertaannya dalam kursus selama dua hari tersebut bagi mendapatkan ilmu mengenai teknologi tanpa wayar (wireless).

BOON HOW

“Sebelum ini saya terlibat dengan projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) melalui pemasangan menara pemancar, jadi ia membolehkan saya mendapat lebih banyak pendedahan, pengalaman dan pengetahuan baharu dalam bidang ini,” katanya kepada Wilayahku.

Kata Boon How, sebagai operator kecil bagi pemasangan gentian fiber di negeri di bawah bayu itu, pihaknya menawarkan solusi untuk pembinaan rangkaian dan terbaharu telah menyelesaikan projek dengan Perbadanan Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA).

“Melalui kursus ini, saya lebih menekankan mengenai pengetahuan teknologi wireless yang melibatkan pembinaan menara telekomunikasi, teknologi jalur lebar, frekuensi serta ilmu yang berkaitan.

Tambahnya, oleh kerana perkara ini hanya diajar secara teori di Institut Pengajian Tinggi (IPT), melalui kursus anjuran Akademi MCMC ini banyak membantunya untuk memahami teknologi berkaitan komunikasi dengan lebih mendalam.

“Teknologi juga berganti dengan lebih pantas dan jika dahulu saya belajar di IPT mengenai 3G dan 4G, dan selepas beberapa tahun, kini kita sedang melihat bagaimana teknologi 5G ini berfungsi. Jadi ini amat memanfaatkan saya untuk melaksanakan kerja berkaitan di Sabah,” katanya.

Menurut Pengarah V Works OCS Sdn Bhd, Wee Kian Lee, syarikat perunding yang diwakilinya membantu pihak penyedia perkhidmatan telco dan pada masa sama turut membantu agensi kerajaan tempatan.

“Apa yang saya pelajari dalam program ini adalah ia membantu untuk mewujudkan kesedaran mengenai teknologi 5G dan bagaimana ia boleh diaplikasikan dalam urusan harian.

KIAN LEE

“Ia juga berkait rapat dengan pekerjaan saya yang turut terlibat dengan Projek JENDELA, pembinaan menara telekomunikasi dan turut memberikan penyelesaian mengenai program bandar pintar (Smart City) dan juga kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Tambahnya, kebanyakan operator yang berpusat di Sarawak dan Sabah memperolehi informasi dan pendedahan yang agak terhad mengenai teknologi ini, ia sedikit rumit untuk memahami mengenai perkara ini.

“Perkara sama yang turut dirasai termasuklah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga syarikat teknologi maklumat (IT) turut mendapat maklumat yang terhad. Disebabkan itu, saya perlu menyertai program ini kerana kami juga turut melaksanakan projek untuk MCMC, jadi ia akan memudahkan kami dan jika ia boleh dibawa ke Sabah dan Sarawak, saya yakin lebih ramai yang akan mendapat manfaat daripada kursus ini.

Dalam pada itu, Pengarah Negara Firma Perundingan, Vriens & Partners Sdn Bhd, Wan Muhamad Nazhif Wan Yusoff berkata tugasnya adalah untuk memberikan khidmat nasihat kepada syarikat antarabangsa yang beroperasi di Malaysia.

WAN MUHAMAD

“Salah satu daripada sektor yang saya perlu pantau adalah bidang ICT dan sememangnya perkembangan dalam 5G adalah salah satu perkara yang menarik minat pelabur asing untuk menempatkan operasi di Malaysia seperti syarikat berpangkalan di Amerika iaitu AWS, Google yang telah mengumumkan untuk membuka pangkalan data di Malaysia,” katanya.

Jelasnya, oleh kerana perkembangan 5G ini sangat relevan dalam bidang pekerjaan, inisiatif kursus di Akademi MCMC merupakan peluang untuk meningkatkan lagi pengetahuan dalam bidang 5G selari dengan kepesatan teknologi yang digunakan kini.

“Saya perlu belajar dahulu mengenai bidang ini dan berterima kasih kepada Akademi MCMC kerana ia turut diajar termasuk mengkaji inisiatif kerajaan dalam mengaplikasikan 5G ini dalam pelbagai bidang dan ia boleh diterjemahkan dalam pelbagai peluang untuk pelabur asing mengembangkan sayap di Malaysia,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas