Artikel

Belajar erti kesabaran hadapi realiti kehidupan

Alam sekitar
Gambar hiasan
- Diterbit 19 Disember 2019 6:33 AM MYT

KESABARAN dan sabar ibarat intipati yang wajib dalam kehidupan merangkumi individu, keluarga, masyarakat, kaum dan negara.

Misalnya, jika seseorang tidak mampu bersabar walaupun seketika yang menyangkut urusan kecil ataupun urusan besar ternyata natijahnya mampu mencetuskan konflik, persengketaan dan pergaduhan. Ia bukan sahaja merugikan diri sendiri, keluarga malah lebih serius melibatkan perihal negara tercinta.

Ternyata salah satu kunci akses untuk berjaya dalam hidup ialah kesabaran. Medan bercakap itu tidak sama dengan medan perbuatan tetapi manusia dikurniakan akal fikiran untuk memikirkan mekanisme terbaik bagi mengatasi beberapa isu dengan syarat usaha dengan semaksimum mungkin, pengharapan sepenuhnya kepada Allah SWT selain memahami konsep tawakal.

Soal ekonomi boleh menyebabkan tahap kesabaran kita semakin menipis tanpa mengira status individu atau berkeluarga.

Rutin bulanan sahaja cukup menyesakkan seperti bayaran pinjaman perumahan, pinjaman kenderaan, bil utiliti, makanan dan tuisyen anak yang perlu dilunaskan secara tartil.

Perkara itu sememangnya wajib terutama bagi golongan lelaki. Sebaik sahaja menamatkan pengajian kita harus bekerja dan perlu menanggung hutang yang telah dicipta menerusi kaedah pinjaman perbankan.

Namun, ada kaedah tertentu untuk menguruskan ‘ekonomi’ dengan cermat seperti mengunakan kenderaan yang pembiayaan tidak lebih 15 peratus daripada gaji bulanan, tidak menggunakan kad kredit, tidak melakukan pinjaman peribadi selain ada tabungan dan wang simpanan konsisten yang tidak dikeluarkan sekurang-kurangnya tiga bulan gaji.

Realiti ekonomi kini tidak menjamin kita terus berada di zon selesa dengan pekerjaan sekarang terutama mereka yang bekerja di sektor swasta. Benar kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.

Selain itu, usahakan pendapatan sampingan atau pekerjaan kedua yang boleh memberikan wang tambahan untuk menampung hidup. Syaratnya, pekerjaan itu harus halal, tidak menipu, bebas riba dan negatif daripada unsur-unsur syubhat.

Hakikatnya, masalah berkaitan ekonomi memang boleh menyebabkan seseorang tidak mampu bersabar tetapi asasnya ada penyelesaikan untuk jangka masa pendek atau panjang.

Kesihatan

Mengenai kesihatan pula, ujian sakit seperti demam, pening kepala, muntah, cirit-birit secara asasnya menyebabkan kita tidak berasa selesa. Tiada istilah manusia yang sihat dan tidak pernah sakit sepanjang hidupnya di dunia. Itu juga menguji tahap kesabaran kita terutama jika sakit gigi boleh menyebabkan tidak dapat tidur semalaman.

Namun realitinya ujian kesakitan ini sememangnya ada kalanya menyebabkan kita tidak dapat bersabar namun ‘level’ keseriusannya semakin berkurangan atau sembuh dengan pengambilan ubat-ubatan selain berjumpa doktor.

Paling utama, diet pengambilan makanan dengan betul selain amalkan gaya hidup sihat. Sebaiknya, ambillah kesempatan untuk menggunakan semaksimum mungkin kemudahan perubatan di hospital swasta bagi mereka yang mengambil polisi insurans atau yang dibiayai majikan.

Selain itu, hospital dan klinik kerajaan turut menawarkan perkhidmatan perubatan terbaik kepada rakyat dengan harga yang amat berpatutan.

Penulis merupakan Pegawai Perhubungan Awam Hospital Pakar KPJ Perlis.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas