Berita

Banyak tahfiz ditutup dan ‘nazak’, pengajian online i-Huffaz jadi penyelamat

PELANCARAN tahfiz online, i-Huffaz dan buku Makhraj Huruf
- Diterbit 25 Oktober 2021 12:41 AM MYT

PANDEMIK COVID-19 memberi kesan kepada banyak sektor termasuklah penutupan pusat-pusat tahfiz di seluruh negara yang disebabkan tidak mampu menampung kos operasi.

Jumlah dijangka bertambah sekiranya penularan wabak itu berlarutan bagi tempoh yang agak lama.

Apatah lagi kebanyakan tahfiz tidak mempunyai dana yang tetap dan hanya bergantung kepada sumbangan dan yuran pelajar.

Demi membela nasib anak-anak tahfiz yang masih memerlukan pengajaran dan ilmu, Akademi Tahfiz Al Islah tampil menjadi penggerak utama sebagai ‘penyelamat’ dengan melancarkan pengajian tahfiz secara atas talian (online) iaitu i Huffaz.

Dalam masa yang sama, buku Makhraj Huruf dilancarkan sebagai modul utama buat semua pelajar i Huffaz.

PENGARAH Urusan Utama Akademi Tahfiz Al Islah merangkap Ketua Mudir i Huffaz, Ustaz Saiful Islam Mohamed Naser.

Menurut Pengarah Urusan Utama Akademi Tahfiz Al Islah merangkap Ketua Mudir i Huffaz, Ustaz Saiful Islam Mohamed Naser, i Huffaz adalah satu alternatif agar pelajar tahfiz dapat menyambung pengajian mereka.

“Iya, semua orang menderita atau terkesan tapi seharusnya di sisi agama, kita mesti pertahankan. Sebagai orang muslim, kita wajib pertahankan institusi agama kita sehingga ke titisan darah terakhir.

“Jadi apabila berlaku institusi tahfiz tutup,kami dari Akademi Tahfiz Al Islah juga tertanya-tanya kenapa ini boleh berlaku.

“Disebabkan itulah kami lancarkan sekaligus lima MoU tahfiz iaitu pelancaran i-Huffaz (tahfiz online), buku Makhraj Huruf dan projek ekonomi di Cyberjaya serta Putrajaya.

“Kalau sebelum ini kami buat program tahfiz secara fizikal, tapi disebabkan beberapa kekangan, kami beralih kepada online dan ia mendapat sambutan yang menggalakkan.

“i-Huffaz adalah program tahfiz online pertama di Malaysia. Ia bukan pengajaran yang biasa kerana kami ada tenaga pengajar yang tetap mengajar tahfiz ini secara online,” katanya dalam sidang media pelancaran tahfiz online, i-Huffaz dan buku Makhraj Huruf, di Putrajaya, baru-baru ini.

SEKITAR pelancaran Tahfiz Online, i-Huffaz dan buku Makhraj Huruf, di Putrajaya, baru-baru ini.

Sebanyak 10000 naskhah buku Makhraj Huruf dicetak bagi kegunaan pelajar dan sesiapa sahaja yang berminat.

Ustaz Saiful berkata, pelancaran i-Huffaz juga adalah untuk mengurangkan bebanan pusat tahfiz yang ditanggung selama ini.

“Alhamdulillah, melalui program-program sebelum ini misalnya I Korban, kami memperoleh keuntungan.

“Jadi apabila kami dapat berita penutupan pusat tahfiz dan banyak yang bakal ditutup disebabkan terbeban dengan hutang akibat pandemik COVID-19, kami panggil mereka sertai kami.

“Kami akan menaungi dan menanggung perbelanjaan serta menyelesaikan segala hutang mereka.

“Rasanya semua orang ada telefon. Jadi program i-Huffaz ini boleh meringankan beban mereka dan pelaksanaannya tanpa sempadan. Walaupun berada di rumah atau tidak dapat meneruskan pengajaran di pusat tahfiz, mereka masih boleh ikuti program tahfiz online iaitu i-Huffaz,” jelasnya.

PELANCARAN i-Huffaz diharap mampu menjadi alternatif kepada pelajar tahfiz yang mahu meneruskan pengajian setelah banyak pusat tahfiz ditutup.

Ustaz Saiful juga berharap buku Makhraj Huruf boleh membantu semua pelajar dalam menguasai pembelajaran Al Quran.

“Di pusat tahfiz, mereka membaca secara hafazan, namun kadang-kadang banyak hukum-hukum (dalam bacaan) yang tak diteliti.

“Jadi inilah peluang untuk mereka meneliti semula bagaimana cara sebutan, bacaan dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Menjawab persoalan tentang kualiti belajar Al Quran secara online melalui i-Huffaz, ini jawab Ustaz Saiful.

“Bila berlaku situasi yang mudarat, berbanding dengan satu mudarat yang lain, kita kena pilih mudarat yang kurang.

“Kami faham memang impak pembelajaran secara online tidak sama dengan hasilnya belajar secara fizikal, tetapi Kalau kita tak buat langsung, anak-anak akan terus hanyut dengan permainan atau hiburan online serta perkara-perkara yang tak berfaedah. Jadi kami kurangkan risiko di situ dan sediakan alternatif.

“Ini bersesuaian dengan slogan i-Huffaz kami, ‘merentas alam maya, membawa mukjizat bersama’. Mukjizat itu adalah Al Quran.

“Selepas ini apabila keadaan mengizinkan, kami akan teruskan program tahfiz secara online dan fizikal. Kedua-duanya kami gabungkan tanpa meninggalkan salah satu dan itu boleh memberikan impak yang lebih besar,” jelasnya.

Apa yang menarik, beli buku Makhraj Huruf Hanya dengan harga RM99 dipakejkan sekali dengan pengajaran Al Quran secara online bersama pengasasnya Ustaz Jamal Al Qurtubi.

Untuk tahu lebih lanjut tentang i-Huffaz dan buku Makhraj Huruf, boleh layari fanpage Facebook dan Instagram : IHuffaz – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas