Berita

Bantuan Ramadan Rahmah bantu golongan B40 nikmati juadah enak

SEKITAR suasana Bazar Ramadan Rahmah di Lorong Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur.
- Diterbit 7 April 2023 6:00 AM MYT

BAZAR Ramadan adalah antara lokasi yang sentiasa menjadi tumpuan masyarakat tidak kira bangsa dan agama. Kepelbagaian juadah yang disajikan tidak ketinggalan beraneka jenis air sememangnya menarik perhatian pengunjung.

Pun begitu, tidak semua mampu menikmati juadah berbuka di bazar terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin bandar yang diibaratkan seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Justeru itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mewujudkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di 38 lokasi seluruh negara termasuk tiga BRR di Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melibatkan Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR), Tempat Letak Kereta Lorong TAR Lot 4 dan Jalan Raja berhadapan gereja.

Ariffin

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata BRR Jalan TAR menyajikan pilihan juadah berbuka puasa pada harga murah dan berpatutan iaitu RM5.

“Julung kali diadakan, tahun ini kita memperkenalkan inisiatif baharu yang berkonsepkan jualan food truck dengan harga rahmah yang bertujuan mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui pilihan makanan dan minuman dengan kadar harga murah.

“Dalam masa sama, ia juga menggalakkan peniaga menyediakan kepelbagaian konsep penyediaan makanan seimbang yang mengandungi protein, mineral, sayur-sayuran dengan berteraskan Menu Rahmah kepada pengunjung.

“Antara Menu Rahmah yang ditawarkan adalah nasi ayam goreng kunyit, mi goreng, roti john, burger dan takoyaki. Selain makanan berat, terdapat juga hidangan ringan seperti keropok lekor, steamboat dan banyak lagi.

“Ia amatlah berbaloi dan boleh dimiliki oleh semua orang termasuklah pelajar universiti dan golongan bujang. Dengan harga tersebut, mereka boleh menikmati satu set hidangan lengkap untuk juadah berbuka puasa,” kata beliau kepada Wilayahku.

Ditanya mengenai penetapan juadah Menu Rahmah oleh peniaga, Ariffin berkata ia bergantung kepada jenis juadah berbuka yang ingin dijual oleh peniaga namun faktor kos penyediaan dan pembelian barang mentah tetap menjadi keutamaan mereka.

“Setiap peniaga mahukan keuntungan, jadi kita tidak meletakkan sebarang paksaan kepada peniaga dari segi menu jualan sebaliknya peniaga boleh menetapkan sendiri jenis juadah dan kuantiti jualan dengan harga tersebut,” jelas beliau.

E-WALLET RM20

BAGI merancakkan lagi kehadiran pengunjung ke BRR Jalan TAR, KPDN bakal memperluaskan Bazar Ramadan Rahmah ini dengan Program Inisiatif Pendigitilan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Inisiative ReDI) melalui pemberian insentif e-tunai RM20 kepada pengunjung dan RM30 peniaga dalam bentuk e-wallet sepanjang Ramadan.

Arifuddin berkata inisiatif ini melibatkan kerjasama dengan penyedia e-wallet sebagai pendekatan menggalakkan pengguna dan peniaga melakukan transaksi digital di BRR seluruh negara termasuklah di Jalan TAR.

“Setiap orang yang datang berkunjung di BRR Jalan TAR perlu menebus e-tunai dengan hanya mengimbas kod QR e-wallet di manamana gerai food truck untuk membeli juadah berbuka.

“Insentif ini hanya dilaksanakan pada waktu-waktu tertentu dan fasa pertama penggunaan insentif ini turut mendapat sambutan yang mana dalam masa sehari sahaja, sebanyak 20,000 dana e-wallet diberikan kepada pengguna,” kata beliau. – WILAYAHKU

INFO:

Tiga lokasi Bazar Ramadan Rahmah Kuala Lumpur:
1. Lorong Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR)
2. Tempat Letak Kereta Jalan TAR Lot 4
3. Jalan Raja berhadapan gereja

Waktu Operasi:
– 5 petang hingga 8 malam

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas