Berita

Rumah Kampung tradisional di Suria KLCC

DEKORASI ‘Rumah Kampung’ menghadirkan rasa syukur dengan keindahan yang dapat dirasai melalui kehidupan di kampung nelayan.
- Diterbit 7 April 2023 8:09 AM MYT

BERSEMPENA Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi, Kumpulan Suria KLCC melancarkan Kempen Hari Raya Suria KLCC bermula 24 Mac sehingga 1 Mei 2023.

Pengarah Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien berkata kempen pada kali ini bakal membawa pengunjung mengimbau suasana perayaan berinspirasikan suasana perkampungan nelayan di Pantai Timur.

“Reka bentuk ‘Rumah Kampung’ tradisional bakal menjadi titik tumpuan di laman Centre Court yang mana merupakan pusat perayaan di Suria KLCC. Keunikan pelbagai dekorasi bakal mengundang memori indah di suasana kampung di mana hadir dengan tata landskap jendela yang gah serta atmosfera kampung ditemani dengan kewujudan replika pokok kelapa,” katanya menerusi satu kenyataan media baru­baru ini.

Andrew berkata pihaknya turut menyediakan aktiviti interaktif wayang kulit di mana pengunjung berpeluang menyingkap pengalaman bercerita melalui seni penceritaan tradisional masyarakat Melayu.

“Sebagai destinasi utama untuk membeli­belah di Kuala Lumpur, kempen ini merupakan pendekatan kami untuk membawa tradisi dan norma masyarakat Melayu untuk dipertontonkan buat pengunjung Suria KLCC yang majmuk dan berbilang bangsa bukan sahaja terdiri dalam Malaysia malahan dari serantau dunia.

“Melalui langkah yang menitikberatkan semangat perayaan buat
para pengunjung ini, kami berharap agar musim sambutan Hari Raya kali ini dapat mencerminkan tanda kerukunan terhadap warisan budaya Malaysia yang pelbagai,” ujarnya.

Tambah beliau, replika pelita terbesar di Malaysia dengan ukuran setinggi 50 kaki juga bakal membuat penampilan sekali lagi di laman Esplanade KLCC.

“Bermula 30 Mac sehingga 24 April ini, pengunjung yang berbelanja RM1,000 melalui dua resit daripada mana-mana kedai terpilih akan menerima Suria KLCC e-baucar bernilai RM100 serta satu set sampul raya eksklusif dari Suria KLCC,” jelasnya tempoh tebusan e-baucar tersebut akan berlangsung sepanjang tempoh Kempen Hari Raya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas