Berita

Bantuan makanan YWP manfaat kepada 7,200 pelajar

PEGAWAI YWP, Zaleha Dullah (dua kiri) menyerahkan bekas makanan yang disediakan YWP semasa membuat lawatan dan pemantauan di beberapa buah sekolah di Putrajaya baru-baru ini. PEGAWAI YWP, Zaleha Dullah (dua kiri) menyerahkan bekas makanan
- Diterbit 4 September 2020 4:49 AM MYT

PROGRAM Bantuan Makanan yang dilaksanakan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) sejak 2016 amat membantu pelajar sekolah menengah daripada golongan berpendapatan rendah (B40) untuk lebih fokus dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PDP).

Ini kerana, bantuan tersebut bukan hanya menarik minat pelajar untuk hadir ke sekolah tetapi turut mengurangkan masalah keciciran di sekolah serta meningkatkan prestasi pembelajaran.

Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun berkata, bantuan makanan itu dikhususkan untuk pelajar miskin yang belajar di sekolah menengah seluruh Wilayah Persekutuan.

Ujarnya, pelaksanaan itu juga sejajar dengan objektif penubuhan YWP iaitu membantu menaiktaraf hidup golongan B40 dan individu memerlukan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Kita faham keadaan semasa masa kini yang mana terdapat sebilangan ibu bapa yang tidak mampu memberi duit belanja kepada anak-anak bersekolah. Akibat daripada itu, anak-anak mereka berasa malu dan enggan ke sekolah.

“Oleh itu, kita sediakan program ini supaya dapat menarik minat golongan sasar ke sekolah sekali gus meningkatkan tahap akademik mereka serta mengelakkan keciciran berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, ujar Zaizalnizam, program yang dilaksanakan di bawah YWP telah meliputi 108 buah sekolah di seluruh Wilayah Persekutuan.

Ujarnya, sejak dimulakan pada tahun 2016, seramai 7,200 pelajar telah mendapat manfaat.

“Sementara itu untuk tahun ini saja, kita mendapat pertambahan 400 pelajar menjadikan jumlah keseluruhan penerima bantuan makanan tahun 2020 adalah 2,000 pelajar.

“Bantuan ini diberikan kepada pelajar miskin yang layak dan di kenal pasti oleh pihak sekolah serta Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Bantuan diberikan bermula Tingkatan 1 sehingga habis persekolahan Tingkatan 5.

“Ini bermaksud, murid yang terima bantuan seawal Tingkatan 1 akan terus menerimanya sehingga habis persekolahan, Tingkatan 5,” jelasnya.

Mengulas lanjut, ujar Zaizalnizam, pihaknya juga menetapkan supaya pihak sekolah menyediakan makanan seimbang, berkhasiat serta melengkapi zat yang diperlukan pelajar.

Tambah beliau, bekas makanan juga disediakan untuk setiap pelajar terlibat sekali gus memudahkan urusan pengambilan makanan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas