Berita

Thailand penjara dua aktivis langgar peraturan ikat jamin

- Diterbit 4 September 2020 4:53 AM MYT

SEBUAH mahkamah di Thailand pada Khamis membatalkan ikat jamin dua aktivis politik kerana melanggar syarat ditetapkan, selepas ditahan kerana terlibat dengan demonstrasi antikerajaan.

Mahkamah Jenayah Bangkok membatalkan ikat jamin peguam hak asasi manusia, Anon Nampa, 35, dan aktivis pelajar Panupong Jadnok, 24, dan mereka dihantar ke Penjara Reman Bangkok pada 5.20 petang (waktu tempatan) Khamis. Mereka boleh ditahan sehingga 48 hari.

Menurut mahkamah kedua-duanya, yang pertama kali ditahan pada 7 Ogos, dibenarkan diikat jamin pada keesokan harinya, melanggar syarat pembebasan dengan meneruskan kegiatan politik mereka.

Mahkamah membenarkan mereka mengemukakan permohonan baharu, tetapi ditolak.

Anon dan Panupong menyertai tunjuk perasaan antikerajaan yang dipimpin oleh pelajar, diadakan hampir setiap hari sejak 18 Julai, mereka menuntut pembubaran parlimen, menghentikan gangguan terhadap pengkritik kerajaan dan meminda semula perlembagaan.

Kedua-duanya didakwa atas beberapa pertuduhan, termasuk menghasut dan melanggar peraturan perhimpunan awam.

Setakat ini, pihak berkuasa sudah mendakwa lebih 30 penunjuk perasaan termasuk pemimpin pelajar.

“Saya merasa bangga dapat turut serta dalam tunjuk perasaan antikerajaan,” kata Anon di Facebook.

“Perjuangan saya sudah berakhir, jadi saya mengajak anda untuk mengambil bahagian dalam perhimpunan di Universiti Thammasat pada 19 September bagi menunjukkan kita di pihak yang benar,” katanya, menurut The Nation. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas