Biz

Bank Islam lancar Program WinBiz perkasa PKS wanita

DR. Wan Azizah (tengah) melancarkan Program WinBiz sambil disaksikan Mohd. Muazzam (kiri) dan Zamani (kanan).
- Diterbit 6 September 2019 5:27 PM MYT

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memperkenalkan penyelesaian kewangan baharu yang dikhususkan bagi usahawan wanita di bawah segmen perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dikenali sebagai Program Women in Business (WinBiz).

Majlis pelancaran program tersebut disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut beliau, institusi-institusi kewangan di Malaysia sepatutnya mencontohi dan mengikuti langkah Bank Islam dalam memperkenalkan produk-produk atau perkhidmatan yang menggalakkan penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan, khususnya dalam perusahaan kecil dan sederhana.

“Ini kerana, Program WinBiz bertujuan untuk meneroka segmen pasaran baharu yang mempunyai saiz potensi pasaran yang signifikan selain meningkatkan akses penyelesaian kewangan kepada segmen PKS yang lebih khusus.

“Program WinBiz juga menawarkan kemudahan perbankan yang komprehensif bagi memenuhi keperluan modal kerja dan perbelanjaan modal perniagaan-perniagaan berstatus Sendirian Berhad yang dimiliki dan diterajui oleh wanita,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Bank Islam, Datuk Zamani Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, Mohd. Muazzam Mohamed.

Dalam pada itu, Mohd. Muazzam memberitahu, penawaran produk-produk dan perkhidmatan yang canggih dan relevan dengan kehendak semasa serta bersesuaian pada masa hadapan merupakan sebahagian daripada usaha Transformasi Bank Islam.

“Sesungguhnya kami amat berbangga kerana diberi peluang untuk memperkenalkan Program WinBiz di pasaran. Malah, ia merupakan satu komitmen permulaan dan penambahbaikan akan dilakukan secara berperingkat dari semasa ke semasa dalam memperluaskan lagi kelayakan dan penawaran produk berkaitan,” ujarnya.

Tambah Mohd. Muazzam, Bank Islam melihat PKS sebagai satu segmen penting yang perlu diberi perhatian dan mempunyai potensi untuk terus berkembang.

“Kami menjangkakan portfolio perbankan PKS akan meningkat sebanyak RM50 juta dalam tempoh 12 bulan akan datang susulan pelancaran WinBiz ini. Ia juga selaras dengan visi untuk menjadi sebuah bank yang mendahulukan kemakmuran untuk semua.

“Kami amat komited dalam membantu PKS berpotensi dan berdaya maju menerusi penawaran produk inovatif untuk meningkatkan pertumbuhan pelanggan PKS,” katanya.

Sebagai permulaan, program WinBiz menyediakan kemudahan Pembiayaan Perniagaan Berjangka-i dengan had pembiayaan sehingga RM1 juta; Kad Kredit-i Visa Infinite Business; Perbankan Internet Korporat; Terminal Penyelesaian Pembayaran; Akaun Pelaburan Al-Awfar SME dan Akaun Semasa iGain SME.

Program WinBiz akan ditawarkan di pasaran bermula Oktober ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas