Biz

KWP, AirAsia jalin kerjasama

MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad melihat paparan iklan yang mempromosikan Wilayah Persekutuan di dalam ruangan kabin AirAsia pagi tadi.
- Diterbit 6 September 2019 6:16 AM MYT

LABUAN – Kerjasama strategik Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Agensi bersama Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia AirAsia merupakan inisiatif terkini dalam mengembangkan lagi industri pelancongan di Wilayah Persekutuan.

Kerjasama tersebut melibatkan pengiklanan di dalam ruang kabin 25 buah pesawat AirAsia iaitu 15 pesawat AirAsia Malaysia dan masing-masing lima pesawat di Thailand serta Indonesia.

KWP dalam satu kenyataan memberitahu, kerjasama itu juga merangkumi pakej pengiklanan dengan AirAsia WiFi (ROKKI) yang menawarkan kemudahan wifi dalam penerbangan.

“Paparan visual di setiap ruangan kabin memaparkan destinasi dan lokasi pelancongan utama yang terdapat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan termasuk makanan popular.

“Keunikan Wilayah Persekutuan turut dipromosikan dalam Majalah Travel360 yang disediakan sebagai bahan bacaan di dalam pesawat serta di platform digital Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2). Ianya adalah untuk usaha meletakkan Wilayah Persekutuan sebagai destinasi mempersona dan vibrant di rantau ini,” katanya.

Dalam pada itu, KWP turut menyatakan Wilayah Persekutuan akan turut mendapat manfaat selari dengan hasrat kerajaan yang menyasarkan 30 juta pelancong dengan nilai pendapatan RM100 bilion bagi Tahun Melawat Malaysia 2020.

Tambah kenyataan itu, dengan jumlah penumpang seramai 85 juta setahun, pihak KWP yakin bahawa  pengiklanan di dalam pesawat Air Asia akan memberikan impak yang tinggi dalam usaha mempromosikan sektor pelancongan di Wilayah Persekutuan setaraf dengan destinasi-destinasi pelancongan lain di dunia pada masa hadapan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas