Utama

Banjir: Perodua tawar rebat kereta terjejas

PERODUA tawar rebat, diskaun dan pemeriksaan percuma kenderaan mangsa banjir.
- Diterbit 7 Januari 2022 5:35 AM MYT

PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad memaklumkan, sebanyak 1,675 kenderaan yang terjejas banjir sudah dihantar ke pusat servis di seluruh negara untuk diperiksa.

“Sambutan yang menggalakkan ini adalah tindak balas positif pelanggan kami mengenai pengumuman Perdana Menteri berhubung program Perodua Flood Assistance.

“Fokus kami sekarang adalah untuk memastikan kenderaan yang dihantar ke pusat servis dapat diselenggara dengan segera.

“Perodua juga sedang bekerjasama dengan pihak insurans dan pihak yang berkenaan untuk memastikan proses dapat dibuat dengan secepat mungkin,” katanya.

Mengulas mengenai kerosakan kenderaan, Zainal Abidin berkata, kos baik pulih kenderaan yang rosak dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kerosakan 100 peratus di mana air banjir sampai ke bumbung kereta.

“Ini bermakna semua komponen dalam kenderaan itu rosak sepenuhnya dan kos untuk membaiki kenderaan berkenaan adalah antara RM10,000 dan RM15,000.

“Bagi kategori kedua pula ialah kerosakan 50 peratus di mana air banjir sampai ke papan pemuka kenderaan dan kos baik pulih kenderaan dalam kategori ini dianggarkan antara RM7,500 dan RM8,500.

“Manakala kategori ketiga ialah kerosakan 20 peratus di mana air banjir hanya naik ke lantai kenderaan dan kos baik pulih bagi kategori ini adalah antara RM1,500 dan RM2,500,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas