Berita

Banjir: Mangsa di PPS Pahang, Kelantan, Perak, KL menurun, Selangor meningkat

MANGSA banjir di PPS empat negeri menurun, Selangor meningkat. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 23 Disember 2021 7:12 AM MYT

JUMLAH mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang, Kelantan, Perak dan ibu negara menurun setakat tengah hari ini namun terdapat peningkatan di Selangor.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir menurun kepada 35,369 orang di 259 PPS pada tengah hari ini, berbanding 37,356 orang di 264 PPS pagi tadi, menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Jumlah daerah yang terjejas banjir di negeri itu kekal sembilan melibatkan Kuantan, Temerloh, Bentong, Bera, Jerantut, Pekan, Lipis, Maran dan Raub, manakala Jabatan Meteorologi meramalkan beberapa kawasan di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Temerloh, Kuantan akan mengalami ribut petir pada sebelah petang.

Sementara itu, pemegang konsesi ke Pantai Timur di Pahang, ANIH Bhd memaklumkan laluan dari Gombak ke Karak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak telah dibuka, namun pengguna dinasihatkan berhati-hati di laluan kontra di KM77.1 ke KM74.8 dan KM70.3 ke KM68.

Di Selangor, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan sebanyak 109 PPS dibuka bagi menempatkan 22,332 mangsa banjir daripada 5,775 keluarga setakat 12.21 tengah hari, berbanding 21,941 orang di 106 PPS pada 7.20 pagi tadi.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam setakat 10.45 pagi tadi berstatus bahaya dengan ketinggian 3.36 meter dan dalam trend menaik.

Di Kelantan, jumlah mangsa setakat 12 tengah hari ini ialah 1,521 orang daripada 516 keluarga berbanding 1,559 orang daripada 532 keluarga pagi tadi melibatkan lapan PPS yang kesemuanya di jajahan Pasir Mas.

Sementara itu, portal rasmi info banjir JPS melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya, dengan hanya tiga sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang; Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas; dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Di Perak, sehingga 12 tengah hari ini, jumlah mangsa banjir di Changkat Jong, Teluk Intan menurun kepada 245 mangsa berbanding 252 mangsa banjir yang ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak.

Di Kuala Lumpur, jumlah mangsa adalah seramai 314 orang daripada 74 keluarga dan ditempatkan di dua PPS berdasarkan aplikasi Info Bencana JKM, setakat 11.28 pagi ini, berbanding 315 orang daripada 75 keluarga pagi tadi.

Di Melaka, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 135 mangsa daripada 34 keluarga setakat tengah hari ini, dengan kesemuanya ditempatkan di tiga PPS di Alor Gajah dan Jasin.

Di Negeri Sembilan, Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu kekal 301 individu daripada 82 keluarga dengan empat PPS masih dibuka di Jelebu setakat tengah hari ini. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas