Berita

Banjir: KKM siap siaga terima kes penyakit bawaan air

KHAIRY berkata KKM telah menggerakkan pasukan perubatan yang beroperasi secara statik di kebanyakan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memudahkan dan menyegerakan saringan kesihatan.
- Diterbit 23 Disember 2021 7:04 AM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) bersiap siaga untuk menerima dan menangani kes melibatkan penyakit bawaan air di semua fasiliti termasuk pusat operasi sementara susulan situasi banjir di beberapa negeri.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata ia juga berikutan jangkaan peningkatan penyakit bawaan air termasuk yang berjangkit antaranya taun, demam kepialu dan kencing tikus.

“Setakat ini belum ada kes serius (melibatkan bawaan air) yang dilaporkan.

“Yang paling serius melibatkan kawasan banjir adalah di Taman Sri Muda, Shah Alam membabitkan kanak-kanak dua tahun mengalami ‘acute gastroenteritis’ dengan dehidrasi dan telah diberi rawatan awal dan dirujuk ke HTAR (Hospital Tengku Ampuan Rahimah), Klang,”  katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Khairy merasmikan Majlis Anugerah Penyelidikan Institut Kesihatan Negara (NIH) serta Buku Bidang Keutamaan Penyelidikan Kesihatan di Bawah Rancangan Malaysia ke-12.

Beliau berkata KKM juga telah menggerakkan pasukan perubatan yang beroperasi secara statik di kebanyakan pusat pemindahan sementara (PPS) selain menubuhkan pusat operasi di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini bagi memudahkan dan menyegerakan saringan kesihatan.

“Kita menasihati orang ramai terutama di kawasan banjir untuk segera mendapatkan rawatan di kemudahan KKM secepat mungkin sekiranya ada gejala atau rasa tidak sihat,” katanya.

Negeri yang terjejas banjir dan melibatkan penempatan mangsa banjir di pusat PPS ialah Pahang, Kelantan, Melaka, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu dan Selangor serta Kuala Lumpur.

Mengenai perkembangan COVID dalam negara, Khairy berkata sebanyak 13 kes Omicron telah dikesan di Malaysia setakat ini dengan 61 kes lagi  disyaki berkemungkinan dijangkiti varian tersebut yang kini dalam pemerhatian.

“Semua kes adalah kes import yang dikesan di pintu masuk antarabangsa dan setakat ini belum ada kes penularan tempatan,” katanya.

Anugerah penyelidikan NIH itu melibatkan 10 kategori antaranya Inovasi Penyelidikan, Kajian COVID-19 terbaik, Penyelidik Terbaik dan Anugerah Ungku Omar. — BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas