Berita

Magnet Team turun padang bantu mangsa banjir di Hulu Langat, ringankan beban penduduk

AHLI Magnet Team bersama mengasingkan pakaian sumbangan untuk diserahkan kepada penduduk di Hulu Langat.
- Diterbit 23 Disember 2021 1:24 PM MYT
SEBANYAK 300 bungkus Pes NisaBakri diedarkan kepada penduduk terjejas banjir di Hulu Langat, sebagai keperluan makanan mudah disediakan.

SERAMAI 12 rakan karib wanita dikenali sebagai ‘Magnet Team’ tidak ketinggalan membantu mangsa banjir di Hulu Langat apabila tampil menghulurkan bantuan makanan kepada penduduk yang terjejas.

Jurucakap Magnet Team, Puan Sri Nisa Bakri berkata, inisiatif bantuan digerakkan adalah hasil  keprihatinan kesemua rakan karibnya yang dapat merasakan kesukaran perlu dihadapi oleh warga penduduk yang terkesan dengan bencana banjir kali ini antara yang terbesar pernah dihadapi.

Beliau berkata, atas kesedaran itu, mereka telah sepakat untuk bersama turun padang ke lokasi terjejas di Hulu Langat bagi menyampaikan misi bantuan berupa bungkusan makanan serta pes masakan ‘Ready To Cook‘ kepada mangsa banjir.

“Hasil keprihatinan kami Magnet Team telah pun turun ke lokasi di Hulu Langat dan menyerahkan kira-kira 250 bungkus nasi kandar dan nasi ayam untuk para penduduk di beberapa lokasi.

“Selain itu, kami bekerjasama dengan NGO lain seperti Pertubuhan Insyirah, JKKR Soeharto, KRF Komuniti serta Pertubuhan Kasih Neelofa untuk bersama-sama menyumbang 300 bungkus pes masakan segera NisaBakri (Pes NB) yang sangat mudah disediakan serta mengenyangkan.

“Alternatif ini sebagai satu pilihan makanan yang ringkas, cepat dan sesuai untuk semua kelompok warga di lokasi banjir yang diketahui oleh semua bahawa mereka begitu sukar untuk menyediakan keperluan makanan sendiri,” katanya selepas Misi Penyerahan Sumbangan Magnet Team Kepada Mangsa Banjir di Hulu Langat, awal hari ini.

Dalam pada itu, rakan paling senior Magnet Team iaitu Puan Sri Datuk Zainab Kader kini berusia 75 tahun, tidak ketinggalan apabila mengetuai sesi serahan sumbangan disediakan kepada mangsa di beberapa lokasi termasuk Masjid Hulu Langat.

Beliau merupakan bekas Pengarah Polis di Bukit Aman turut menyantuni penduduk terjejas sambil menitipkan kata-kata semangat bagi meredakan kesedihan yang sedang dialami mangsa.

Mengulas lanjut, Nisa Bakri turut memaklumkan pihak Magnet Team juga menyerahkan pakaian terpakai yang berjaya dikumpul oleh rakan-rakan untuk diagihkan kepada penduduk bagi kegunaan sementara dalam situasi bencana ketika ini.

Katanya, longgokan pakaian diterima, diasingkan mengikut jenis dan saiz seterusnya dibersihkan sebelum diedar kepada mangsa di Hulu Langat bagi ringankan beban mangsa banjir yang tinggal sehelai sepinggang apabila barangan keperluan ditenggelami air serta berlumpur.

“Semoga dengan bantuan ikhlas kami ini dapat memudahkan segala urusan mangsa banjir di sini dan akan jadi titik tolak mempelbagaikan bentuk sumbangan diperlukan di masa depan,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas