Artikel

Banjir kilat resahkan warga ibu kota

BANJIR kilat di Lembang Klang. - Gambar hiasan
- Diterbit 26 Oktober 2019 9:11 AM MYT

ORANG ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya hujan lebat melanda ibu kota.

Sudah menjadi lumrah apabila hujan lebat selama kira-kira satu hingga dua jam, sudah pasti berlaku banjir kilat.

Sepanjang Oktober ini, sekurang-kurangnya tiga insiden banjir kilat yang besar dilaporkan media berlaku di Kuala Lumpur.

Walaupun belum lagi masuk musim tengkujuh, kejadian banjir kilat sering meresahkan warga ibu kota. Ini kerana banyak kerosakan terpaksa ditanggung pengguna jalan raya dan para peniaga selain terdapat risiko kehilangan nyawa.

Kita bernasib baik setakat ini tiada mangsa terkorban namun wang banyak melayang untuk membaiki kerosakan kenderaan dan harta benda.

Warga kota mungkin bernasib baik kerana kepantasan maklumat disebar termasuk dari media sosial. Ini membolehkan mereka mengelakkan diri daripada memasuki ibu kota apabila mengetahui berlaku kejadian banjir kilat.

Selain itu, mereka juga boleh bergantung kepada Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Namun dalam kejadian terbaru pada Selasa lepas (22 Oktober 2019), banjir kilat bukan lagi melanda kawasan yang melibatkan lokasi rakyat marhain.

Jalan Duta berhampiran Istana Negara menghala ke Taman Tasik Perdana berhampiran Parlimen terpaksa ditutup kerana jalan telah bertukar menjadi sungai.

Kesemua lokasi tersebut menjadi laluan golongan diraja, kenamaan dan pemimpin negara. Sudah pasti ia begitu mudah menjadi tumpuan lensa dan berita kepada media luar.

Ibu negara mempunyai Terowong SMART yang dibina dari Jalan Tun Razak sehingga ke Sungai Besi. Selain membantu melancarkan aliran trafik keluar masuk ke pusat bandar, ia berperanan mengatasi banjir kilat.

Meskipun ada terowong pintar itu, ibu negara tetap tidak terlepas daripada banjir kilat.

Langkah drastik perlu diambil termasuk memastikan tapak-tapak pembinaan dipantau lebih ketat agar tidak menyekat aliran air hujan selain sistem saliran dan perparitan dipastikan sentiasa diselenggara terutama apabila masuk musim Monsun Timur Laut bermula 24 Oktober ini hingga Mac depan.

Apa yang lebih penting sudah tibanya masanya sistem banjir kilat dapat disediakan seperti ada siren amaran bagi mengelakkan orang ramai terperangkap dalam bencana alam itu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas