Berita

Bangunan tinggal semak samun

BANGUNAN kosong berhampiran Surau al-Furqan Presint 11, Putrajaya dipenuhi semak samun dan sampah.
- Diterbit 19 Disember 2019 5:33 AM MYT

PUTRAJAYA – Sebuah bangunan tinggal dipenuhi semak. Itu keadaan yang dapat dilihat di sebelah Surau Al-Furqan Presint 11 di sini yang sudah terbiar sejak tiga tahun lalu.

Menurut penduduk setempat yang enggan dikenali, bangunan dua tingkat itu dipercayai dibina untuk dijadikan lokasi tadika penduduk setempat.

Namun katanya, selepas siap dibina tiga tahun lalu, bangunan berkeluasan 3,200 kaki persegi itu dibiarkan kosong manakala perancangan untuk menjadikannya pusat asuhan kanak-kanak atau tadika tergendala.

“Sebelum ini ia dibina oleh kerajaan terdahulu. Apabila peralihan kuasa berlaku, bangunan tersebut tidak diambil oleh mana-mana pihak.

“Dahulu mungkin ia diberikan secara percuma kepada seseorang dan selepas peralihan pihak berkenaan tidak berani ambil,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Beliau juga memaklumkan, pada masa ini, status pemilikan bangunan tersebut tidak dikenal pasti malah persoalan sama ada dijual atau disewakan juga tidak berjawab.

Katanya, apa yang membimbangkan penduduk setempat adalah kawasan persekitaran bangunan berkenaan yang dipenuhi semak samun.

“Bangunan terbiar dan tiada penyelenggaraan. Difahamkan ia adalah milik kerajaan tetapi tiada tindakan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita bimbang berlaku perkara tidak diingini seperti tempat membiak binatang berbisa atau dijadikan lokasi tumpuan golongan bermasalah seperti penagih dadah kerana pagar dan pintunya tidak berkunci.

“Kedudukannya juga bersebelahan dengan surau dan kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA). Budak-budak sering bermain di tempat kosong itu,” katanya.

Justeru, dia menggesa supaya pihak PBT mengambil tindakan lanjut dan menyelenggara tempat berkenaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas