Berita

Tambah baik jalan Kuala Lumpur

PIHAK DBKL memeriksa kepadatan bahan iaitu 98 peratus selepas turapan menggunakan teknologi CMA dilakukan.
- Diterbit 19 Disember 2019 5:31 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melakukan kerja-kerja pengisaran dan penurapan semula jalan di sekitar ibu nega­ra menggunakan ‘Rubberised Bitumen’ iaitu teknologi Cuplump Modi­fied Asphalt (CMA).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pelaksanaan penurapan semula itu telah bermula sejak dua bulan lalu di Jalan Parlimen.

“Kita akan lakukannya berterusan dan fokus utama adalah di jalan-jalan rosak. Pada masa ini penurapan semula di laluan keluar masuk ke bangunan Parlimen dan jalan-jalan sekitarnya.

“Pada 29 November lalu, kita lakukan penurapan semula di Sungai Besi,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Nor Hisham, penggunaan teknologi itu membantu meningkatkan industri getah negara.

TURAPAN menggunakan teknologi CMa dilakukan di Jalan Loke Yew menghala Jalan Sungai Besi ekoran keadaan jalan yang rosak.

Malah ujar beliau, pihaknya juga akan bekerja­sama dengan Lembaga Getah (LGM) bagi memasti­kan usaha yang dilakukan itu berterusan dan memberi impak positif kepada pengguna.

Jelas beliau, projek turapan semula itu juga sejajar dengan hasrat DBKL untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur di seluruh ibu kota.

“DBKL akan melaksana­kan beberapa inisiatif untuk kesejahteraan dan kemakmuran warga kota,” ujarnya.

Terdahulu beliau memaklumkan, bagi Bajet DBKL 2020, sejumlah RM661 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan 73 projek termasuk infrastruktur jalan, saliran, cerun dan longkang.

Sebahagian besar projek itu adalah untuk me­ngatasi masalah banjir kilat di sekitar ibu negara.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas