Artikel

Bakti murni YWP untuk orang ramai

- Diterbit 29 November 2020 6:00 AM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) tidak banyak beza dengan yayasan-yayasan yang wujud negeri-negeri lain di Malaysia. Misalnya Yayasan Selangor, Yayasan Negeri Sembilan, Yayasan Sabah, Yayasan Sarawak, Yayasan Pahang dan lain-lain.

Bezanya cuma YWP ini ditubuhkan untuk tujuan kebajikan, sosial dan ekonomi warga Wilayah Persekutuan (WP) sahaja. Pastinya itulah matlamatnya, sama juga dengan yayasan negeri lain tertumpu untuk warga negeri berkenaan sahaja.

Oleh itu Adi tidak faham kenapa kini ada pihak yang mempertikaikan kewujudan YWP serta fungsi yayasan tersebut untuk kesejahteraan warga WP sedangkan yayasan itu sudah lama wujud dan berfungsi dengan baik.

Malah golongan ini pergi lebih jauh dengan mendesak YWP ditutup dan fungsinya diserahkan kepada pihak lain, seperti Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di bawah Kementerian Wanita, Masyarakat dan Keluarga.

Adi difahamkan kelompok yang membuat desakan ini ialah wakil rakyat pembangkang di WP.

Sepatutnya, untuk berlaku adil, mereka juga perlu mendesak yayasan sama di negeri-negeri lain ditutup kerana fungsi kesemua yayasan adalah sama. Tetapi mereka hanya menyerang YWP.

Apakah muslihat desakan ini? Kenapa YWP yang selama ini cemerlang dalam membantu warga Wilayah Persekutuan dalam pelbagai aspek tanpa mengira bangsa dan fahaman politik hendak ditutup?

Ingin Adi tegaskan, YWP ditubuhkan dengan matlamat jelas untuk menyemai bakti kepada warga WP khususnya dalam aspek sosioekonomi, merangkumi kesejahteraan, pendidikan dan kebajikan penduduk.

Program yang dilaksanakan oleh YWP banyak menjurus kepada kesejahteraan dan pembangunan modal insan, seperti bantuan biasiswa pelajaran, bantuan awal kemasukan ke IPTA, bantuan ‘kembali ke sekolah’ serta skim khairat kematian.

Juga termasuk dalam fungsi YWP ialah penyediaan pinjaman untuk pembelian rumah-rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Awam (PA) serta bantuan kecemasan untuk perubatan dan bencana alam.

Oleh itu Adi tidak faham kenapa di sebalik khidmat murni yang dilaksanakan oleh YWP ini kepada golongan yang layak, tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik, menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan pihak tertentu.

Jika fungsi YWP ini hendak diserahkan kepada YKN seperti yang kelompok ini mahu, pastinya ia bukan lagi menjurus khusus ke arah membantu warga WP seperti matlamat penubuhan.

Oleh kerana ia sama sahaja seperti yayasan di negeri lain yang khusus membantu rakyat negeri berkenaan, kenapa tidak dicadangkan yayasan negeri-negeri ini juga ditutup dan fungsinya diserahkan kepada YKN?

Kenapa hanya YWP yang menjadi sasaran seolah-olah ada agenda tersembunyi? Hanya mereka yang membuat desakan sahaja tahu agenda tersebut dan apa yang tersirat dalam pemikiran mereka.

Yang pasti Adi percaya warga WP menghargai peranan YWP yang selama ini banyak membantu mereka. Mereka sudah tentu mahu yayasan yang banyak berjasa ini terus berdiri kukuh dan memberikan khidmat bakti berterusan.

Oleh itu, Adi harap pihak YWP khususnya, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPR Annuar Musa tidak terganggu dengan serangan pihak tidak bertanggungjawab ini.

Sebaliknya mereka harus menganggap ini sebagai satu cabaran yang menguatkan lagi azam untuk memastikan YWP bukan sahaja semakin kukuh tetapi akan dapat membantu lebih ramai lagi warga WP yang memerlukan.

Sementara Adi percaya dengan konsep teguran membina dapat menambah baik perkhidmatan, teguran yang jelas bersifat menyerang tanpa sebab munasabah tidak harus dilayan.

Selagi YWP tetap kukuh dengan matlamat penubuhannya dan terus berbakti dalam menyantuni warga WP, selagi itu ia tidak mudah digugat atau tunduk kepada tekanan daripada mana-mana pihak.

SAMBUTAN BAIK PROGRAM ‘BEBAS BERNIAGA’

Belum sampai dua minggu program ‘bebas berniaga’ dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, sambutan orang ramai begitu menggalakkan.

Adi perhatikan ramai mengambil peluang membuka warung atau gerai di kawasan pilihan mereka sendiri dengan pelbagai barang jualan seperti air minuman, kuih-muih, bahan makanan dan pelbagai lagi.

Di kawasan kediaman Adi sendiri, banyak peniaga dan gerai muncul menyahut cabaran ‘bebas berniaga’. Malah ada yang beroperasi di hadapan rumah. Juga ada masjid membenarkan gerai didirikan di kawasan hadapan masjid dari pagi hingga tengahari.

Pada Adi ini adalah satu tindakan proaktif pihak masjid dalam mengembangkan fungsinya membantu masyarakat, selain sebagai tempat beramal ibadat dan perkembangan syiar Islam.

Adi juga perhatikan mereka yang mendirikan gerai melakukannya dengan teratur, tidak sesuka hati sehingga sakit mata memandang. Kebersihan juga dijaga agar persekitaran nampak selesa dan mampu menarik pembeli.

Jika serius menggunakan peluang yang diberi dan berusaha bersungguhsungguh, Adi percaya ramai akan mendapat manfaat serta kejayaan daripada program ‘bebas berniaga’ ini. Rajin dan usaha tangga kejayaan.

RUMAH BAHARU UNTUK PENDUDUK SRI LABUAN

Tidak ada yang lebih menggembirakan selain memiliki rumah sendiri untuk keluarga berlindung daripada panas dan hujan. Lebih menyeronokkan apabila rumah yang diperoleh adalah percuma.

Adi percaya inilah yang dirasai oleh 395 penduduk Perumahan Awam (PA) Sri Labuan, Kuala Lumpur apabila menerima surat tawaran rumah baharu daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini.

Tawaran ini juga menandakan berakhirnya penantian 10 tahun penduduk untuk mendapatkan rumah yang lebih besar dan selesa berbanding dengan rumah mereka terdahulu yang kecil dan tidak sesuai bagi keluarga besar.

Mereka yang telah melangsaikan bayaran rumah lama kepada DBKL tidak akan dikenakan bayaran untuk rumah baharu itu. Sementara itu projek perumahan sama juga sedang dilaksanakan melibatkan PA Sri Johor, PA Sri Pulau Pinang dan PA Sri Ikan Emas melibatkan 5,600 unit rumah.

Bagi Adi, jelas sekali Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui DBKL bukan sahaja mengambil berat keperluan menyediakan tempat kediaman untuk warga Kuala Lumpur tetapi menyediakan mereka dengan kediaman yang lebih selesa dan luas.

Adi berharap projek-projek yang sedang dijalankan dapat disiapkan pada kadar segera bagi memastikan bakal pemilik tidak menunggu terlalu lama untuk memasuki rumah baharu. Juga diharap projek akan diperluaskan ke kawasankawasan lain di Wilayah Persekutuan agar semakin ramai dapat memiliki rumah yang selesa.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas