Artikel

Cukai industri rokok elektronik terlalu rendah?

ROKOK elektronik semakin diminati ramai, sama ada lelaki mahupun wanita. - Gambar hiasan
- Diterbit 29 November 2020 7:50 AM MYT

BARU-BARU ini, ahli-ahli Parlimen telah meluluskan Belanjawan 2021 melibatkan cadangan antara lain mengenakan cukai ke atas industri rokok elektronik (vape), sama seperti mana industri tembakau.

Buat pertama kalinya cukai peranti rokok elektronik serta cecairnya perlu dibayar.

Kadar yang dikenakan adalah jauh lebih rendah berbanding industri tembakau, sedangkan potensi kerajaan untuk meraih pendapatan adalah besar. Ini kerana ramai perokok tembakau dunia termasuk di Malaysia semakin beralih kepada rokok elektronik.

“Nilai cukai yang diusulkan untuk industri rokok elektronik terlalu rendah daripada apa yang dikenakan ke atas industri tembakau,” kata MQ Consultant, sebuah syarikat penyelidikan dan teknologi tempatan yang terlibat dalam melakukan kajian mendalam terhadap industri rokok elektronik di Malaysia.

“Pengenaan cukai merupakan langkah pertama yang penting dalam mengawal selia pertumbuhan industri rokok elektronik (pasaran rokok elektronik di Malaysia diunjur muncul sebagai yang kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat), dan berikutan perbezaan ketara antara kedua-duanya (rokok elektronik dan tembakau), satu kajian yang teliti ke atas struktur cukai perlu dilakukan. Kita tidak boleh menggunakan satu ukuran atau struktur cukai sesuai untuk semua,” tambah MQ Consultant.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pengenaan duti eksais sebanyak 40 sen untuk setiap mililiter (mL) cecair rokok elektronik akan mula dikuatkuasakan mulai Januari 2021.

Berdasarkan perkembangan di peringkat dunia, Malaysia boleh dikatakan agak lambat dalam mengenakan cukai ke atas rokok elektronik namun usaha sedang digerakkan untuk mengawal selia dan memastikan industri berkenaan berkembang pesat dengan cara yang lebih teratur.

Di peringkat Asia, Indonesia, Filipina dan Korea telah pun memperkenalkan cukai ke atas rokok elektronik seawal 2011 dan ketiga-tiga negara itu telah mengenakan tarif cukai yang lebih tinggi berbanding di Malaysia.

Pada masa ini, Malaysia bercadang mengenakan cukai AS$0.10 (40 sen) bagi setiap mililiter (mL); manakala di Filipina, bagi setiap mililiter (mL) cukai yang dikenakan ialah AS$0.76.

Pengenaan cukai yang rendah ini merupakan satu kerugian kepada Malaysia kerana ia sepatutnya menaikkannya lagi bagi semua cecair rokok elektonik. Malah, cukai ini boleh dijadikan sebagai sebahagian langkah mengawal tabiat merokok.

Sebagai perbandingan, di Indonesia, cecair rokok elektronik (kecuali yang diisi dalam ‘pod’) dikenakan cukai sehingga 57 peratus, empat (4) kali ganda daripada kadar eksais maksimum ke atas rokok tembakau biasa.

“Isu-isu berkaitan penggunaan rokok elektronik memerlukan kajian rapi dilakukan oleh pihak Kerajaan dan cadangan untuk mengenakan cukai yang tinggi boleh dilihat sebagai satu langkah pencegahan yang baik, berbanding mengharamkan penggunaannya. Meskipun terdapat kes-kes negatif yang terpencil di seluruh dunia, para penyelidik kebanyakannya bersetuju bahawa penggunaan rokok elektronik merupakan pilihan yang lebih baik berbanding dengan rokok tembakau.”

MQ Consultant juga menambah, melalui kajian dan maklumat yang sedang giat dikumpul di dalam dan luar negara, kerajaan Malaysia boleh menggunakan rokok elektronik sebagai alat ke arah mewujudkan masyarakat bebas asap rokok yang diakui memudaratkan perokok dan juga orang ramai.

“Usaha ini bukanlah sekadar satu eksperimental semata-mata, kerana Kerajaan New Zealand sendiri telah berbuat demikian dalam usaha mencapai matlamatnya, menjadikan negara pulau itu bebas asap rokok pada tahun 2025. Bancian terkini menunjukkan terdapat tiga (3) juta pengguna rokok elektronik di Malaysia pada masa ini.

Walaupun industri rokok elektronik di Malaysia diunjurkan bernilai berbilion ringgit, ia masih dianggap sebagai ‘black ekonomy’ (ekonomi gelap) yang berpotensi mengakibatkan kerugian yang besar kepada negara. Berikutan meningkatnya pengguna rokok elektronik dan berkurangnya penghisap rokok tembakau, Kerajaan tidak seharusnya terlepas untuk memanfaatkan perubahan tabiat yang berlaku di seluruh dunia.

Dengan mengadakan peraturan percukaian, satu situasi yang menguntungkan semua pihak boleh diwujudkan, ia bukan hanya meningkatkan sumbangan kepada ekonomi negara tetapi juga membantu usaha Kerajaan dalam menambah baik kehidupan sosial dan kesihatan rakyat Malaysia dalam tempoh jangka panjang.

MQ Consultant merupakan sebuah syarikat penyelidikan dan teknologi 
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas