Berita

Baik pulih bumbung terbang ambil masa 3 minggu

ATAP-atap bagi kerja baik pulih telah ditempah dan akan sampai ke lokasi secara berperingkat bermula minggu ini dan selewat-lewatnya minggu depan.
- Diterbit 8 Februari 2022 1:55 PM MYT

KERJA-kerja membaik pulih bumbung terbang di rumah pangsa Taman Melati, Kuala Lumpur akan mengambil masa selama tiga minggu.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) telah  memulakan kerja membaik pulih bumbung rumah pada hari berikutnya setelah mendapat arahan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

“Beberapa perjumpaan telah diadakan bersama penduduk dan proses baik pulih akan mengambil masa selama tiga minggu.

“Ia berikutan stok bahan binaan yang tiba lewat dan berperingkat memandangkan kedai-kedai atau pembekal sedang dalam cuti umum Tahun Baru Cina,” katanya dalam satu kenyataan media.

Jelasnya lagi, kerja-kerja pemasangan ‘canvas‘ serta ‘joining‘ yang telah dijalankan mengalami kerosakan berikutan ribut yang berlaku sekali lagi pada minggu lalu.

“Oleh itu, pada minggu ini YWP akan meneruskan kerja baik pulih yang terjejas dan berharap kerja-kerja baik pulih bumbung ini dapat disiapkan serta merta,” katanya sambil menambah atap-atap telah ditempah dan akan sampai ke lokasi secara berperingkat bermula minggu ini dan selewat-lewatnya minggu depan.

Tambah beliau pada 28 Januari lalu YWP turut menyalurkan sumbangan tunai sebanyak RM250 per keluarga kepada 46 buah keluarga yang terlibat.

“Suka juga saya nyatakan bahawa YWP dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL)  telah memberikan bantuan makan malam, sarapan dan tengah hari untuk 200 orang terlibat dari semasa ke semasa di Pusat Pemindahan Sementara yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sejak Isnin lalu.

“Saya turut dimaklumkan bahawa Pengerusi Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Flat Taman Melati yang juga merupakan Pemgerusi Persatuan Penduduk Blok 4B, sentiasa berkomunikasi serta berbincang dengan pihak YWP dalam memastikan kerja-kerja baik pulih berjalan mengikut perancangan,” ujarnya.

Terdahulu pada 24 Januari lalu pada jam 3 petang, empat blok rumah pangsa di Taman Melati yang melibatkan 40 unit rumah dari Blok A13, A14, A15 dan A16 mengalami kerosakan akibat angin kencang dan hujan lebat. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas