Selebriti

Baby Shima dapatkan khidmat kaunseling di Rumah Prihatin

|BABY Shima rasa lega selepas menjalani rawatan kaunseling bersama kaunselor sukarelawan Rumah Prihatin
- Diterbit 18 November 2021 3:40 PM MYT

“SAYA betul-betul stres. Bukan main-main, sehinggakan saya ambil keputusan dapatkan khidmat kaunseling,” luah Baby Shima kepada Wilayahku selepas sesi kaunseling di Klinik Mental Prihatin di Rumah Prihatin @ Grand Seasons, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut penyanyi lagu Lalai ini, dia sudah tidak tahan dengan masalah tekanan perasaan atau depresi yang dihadapinya akhir-akhir ini, akibat kecaman netizen yang melampau.

Baby Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, 26, mengaku rasa lega selepas menjalani rawatan kaunseling bersama kaunselor sukarelawan Rumah Prihatin, Muhamad Nabil Che Musa di Rumah Prihatin.

“Kalau ikutkan hati saya, awalnya saya tak mahu dapatkan khidmat ini. Tambahan pula saya kurang pendedahan mengenai rawatan kesihatan mental sebelum ini.

“Namun setelah dinasihati oleh seorang kawan rapat, akhirnya saya bersetuju untuk mendapatkan khidmat kaunseling di Rumah Prihatin.

“Saya rasa lega sikit selepas sesi kaunseling. Selama ini saya cuma pendam seorang diri. Bila dah luahkan semuanya baru rasa lebih baik.

“Semua masalah saya ceritakan pada Nabil. Alhamdulillah, amat lega berdepan situasi sekarang. Cuma saya kena ulangi lagi sesi ini untuk kali kedua pada masa yang sesuai,” katanya lagi.

BABY Shima rasa lega selepas menjalani rawatan kaunseling bersama kaunselor sukarelawan Rumah Prihatin, Muhamad Nabil Che Musa di Rumah Prihatin.

Shima berkata, dahulunya dia seorang yang sabar dan kuat berdepan kecaman begini, namun sekarang tidak lagi.

“Sampai ke tahap ini saya dah betul-betul lemah. Kadang-kadang rasa nak terima tapi sampai satu tahap rasa ‘down’.

“Saya bukan tak boleh nak ditegur. Saya boleh terima dan tak kisah tapi anda nak tegur kena tahu adabnya bagaimana.

“Jangan sampai memaki hamun. Banyak yang menegur tapi cara mereka amat keterlaluan sehingga tahap menghina saya,” luahnya lagi yang sesekali menitis air mata kerana tidak tahan dengan kecaman yang dilemparkan kepadanya.

BABY Shima akan menjalani rawatan kaunseling susulan dalam masa terdekat did Rumah Prihatin.

Shima juga mengaku, orang di luar sana selalu melihatnya tersenyum dan ceria dalam laman sosial, hakikatnya dia yang tahu depresi yang dialami.

“Di rumah saya amat tertekan sampai kepala saya betul-betul rasa berat. Kadang-kadang rasa badan mengigil, lemah dan tak boleh tidur sehingga kesihatan terjejas.

“Berat badan turun mendadak. Dulu berat saya 45 kilogram ke atas, sekarang tak sampai 40 kilogram. Selera makan saya okay, tapi entah lah.

“Nak buat kerja pun tak boleh fokus. Nak hafal skrip yang senang pun tak boleh. Ia sangat mengganggu,” tambahnya.

Tekanan perasaan yang dialami juga menyebabkan Shima terpaksa bertemu doktor untuk mengambil ubat penenang.
“Saya pun pelik. Apa yang saya buat sehingga orang terlalu mengecam sehingga melampau-lampau. Saya tak pernah kacau orang lain.

“Apa yang berlaku buatkan fikiran saya serabut sehingga jumpa doktor ambil ubat penenang. Ada juga kesannya. Namun saya tidaklah sampai nak bunuh diri kerana tahu dosa dan pahala.

“Jadi, saya gagahkan diri dapatkan khidmat kaunseling kerana sudah tidak tahan lagi dengn depresi yang saya alami. Orang luar mungkin tak nampak, tapi saya yang rasa perit hadapi semua ini.

Shima yang mencipta nama di Indonesia berkata, peminat di sana memberi teguran secara baik dan tidak memaki hamun.

Berbeza halnya dengan peminat tempatan yang sesetengahnya lebih bersikap menghukum dan memaki hamun.

“Boleh nampak kebanyakan mereka menegur dan pada masa sama mendoakan yang baik-baik terhadap saya. Sesetengah orang Malaysia pula bila tak suka pasti akan memaki hamun. Saya dapati peminat di sana lagi terima dan hargai saya.

“Walaupun saya orang luar, mereka nampak perkara ini. Saya akan pergi ke sana semula pada hujung bulan ini,” katanya yang akan kembali aktif menyanyi di Indonesia kerana banyak tawaran nyanyian sedang menunggu. – WILAYAHKU

Foto: Ariff Azman

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas