Berita

Azizulhasni terima kejutan mengembirakan dari Melbourne

PELUMBA berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang hari ini menerima satu kejutan yang mengembirakan daripada keluarganya yang berada di Melbourne, Australia. Gambar - Facebook Olympic Council of Malaysia
- Diterbit 5 Ogos 2021 2:47 PM MYT

PELUMBA berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang hari ini menerima satu kejutan yang mengembirakan daripada keluarganya yang berada di Melbourne, Australia.

Pelumba berusia 33 tahun itu, kini berada di sini untuk Olimpik Tokyo.

Kejutan itu tentunya memberikan beliau satu rangsangan semangat yang amat diperlukannya untuk bertanding dalam acara kegemarannya, keirin lelaki Sabtu ini (7 Ogos), selepas beliau gagal layak ke peringkat suku akhir acara pecut hari ini.

Isteri Azizulhasni Athiah Ilyana Abd Samat, 35, bersama dua anak perempuannya Amna Maryam, 8 dan Amna Khadeeja, 5, mendoakan agar The Pocket Rocketman’ akan berjaya membawa pulang emas pertama Malaysia di Olimpik.

“Untuk ‘abi’ yang kami sayangi, all the best in Tokyo Olympics 2020’, semoga Allah SWT permudahkan urusan…go Azizul goall the best and we love you abi,” kata mereka dalam video yang dimuat naik di Facebook Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.

Azizulhasni yang kelihatan kebingungan apabila menonton video itu, hanya mampu bertanya, “bila hantar ni?”, kepada rakan-rakan sepasukannya.

Terdahulu pelumba berasal dari Dungun itu, bersama seorang lagi pelumba berbasikal negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom, gagal untuk mara ke peringkat suku akhir, selepas tewas dalam perlumbaan repechages 1/8.

Pada saringan satu perlumbaan repechages 1/8 itu, juara bertahan Jason Kenny dari Great Britain memenangi perlumbaan itu dengan catatan 10.066 saat (s) dengan Azizul di tempat kedua dan pelumba Jepun Yuta Wakimoto, ketiga.

Pada saringan dua, Muhammad Shah Firdaus pula hanya menduduki tempat ketiga di belakang Sebastien Vigier dari Perancis yang memenangi perlumbaan dengan 10.169s dan Sam Webster (New Zealand) kedua.

Sebelum itu pada pusingan ketiga 1/8, kedua-dua pelumba negara itu masing-masing tewas kepada pelumba Belanda dengan Azizulhasni tewas kepada Jeffrey Hoogland dan Muhammad Shah Firdaus tewas kepada Harrie Lavrysen.

Azizulhasni merupakan pelumba berbasikal trek Malaysia pertama memenangi pingat Olimpik apabila beliau menang gangsa pada acara keirin di Olimpik Rio 2016. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas