Berita

Koc merah jambu MRT laluan Putrajaya dibuka

SEBANYAK 36 stesen dan 49 tren di MRT laluan Putrajaya dipasang pelekat khas berwarna merah jambu bagi memudahkan pengguna mengenal pasti koc wanita
- Diterbit 19 April 2024 2:17 PM MYT

KOC wanita bagi Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya mula dibuka sejak Isnin lalu bagi memberi keselesaan kepada penumpang wanita.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Amir Hamdan, pelaksanaan inisiatif berkenaan adalah bagi menyediakan perjalanan yang lebih selesa dan selamat bagi penumpang wanita yang merangkumi 60 peratus daripada jumlah pengguna rel.

“Selain itu, ia adalah kesinambungan daripada projek perintis koc wanita di MRT laluan Kajang yang dilaksanakan pada 18 September tahun lepas.

“Sebanyak 36 stesen dan 49 tren di MRT laluan Putrajaya telah dipasang dengan pelekat khas berwarna merah jambu bagi memudahkan pengguna mengenal pasti koc wanita yang terletak di bahagian tengah setiap tren.

“Sejak diperkenalkan, inisiatif koc wanita telah mendapat sambutan baik daripada pengguna dan data yang dicerap menunjukkan bilangan aduan berkaitan kes gangguan seksual di MRT laluan Kajang telah menurun daripada purata 3.2 kes kepada dua kes sebulan,” ujar beliau.

Dalam masa sama, Amir berkata kira-kira 300 hingga 400 penumpang boleh dimuatkan pada dua koc wanita laluan MRT Putrajaya bagi setiap perjalanan.

“Polis bantuan juga turut ditugaskan bagi membuat pemantauan secara berkala di dalam tren dan stesen untuk memastikan etika penggunaan koc wanita dipatuhi semua pengguna rel,” ujarnya.

Terdahulu, Amir bersama pengurusan Rapid Rail menghiburkan hampir 100 penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya bermula dari stesen Datuk Keramat ke KL Sentral dengan mengadakan nyanyian Muzikal Raya bagi membangkitkan suasana Aidilfitri yang disambut oleh umat Islam pada Rabu.

Sembilan buah lagu raya didendangkan yang diketuai kumpulan Alun Tradisi antaranya Balik Kampung, Selamat Hari Raya dan Bila Takbir Bergema. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas