Berita

Aspirasi GreenrOSE@Putrajaya

PESERTA diberikan pendedahan tentang alam sekitar.
- Diterbit 13 Mac 2020 7:05 AM MYT

PUTRAJAYA – Bagi memberi kesedaran berteraskan alam sekitar kepada generasi muda, Program GreenROSE@Putrajaya dianjurkan sejajar dengan amalan pembangunan mapan yang diterapkan sejak 2010 dan konsep Bandar Taman.

Pengarah Bahagian Pem­­­bangunan Mampan Per­badanan Putrajaya, Nor­zita Abdul Razak ber­kata, GreenROSE@Putra­jaya me­rupakan program pendidikan dan kesedaran yang memberi fokus kepada generasi muda khususnya murid sekolah rendah ter­hadap fenomena perubahan iklim.

Jelas beliau, program bermula pada 2017 dan diterus­kan dengan menyasarkan penglibatan keseluruhan sekolah di Putrajaya.

“Ia bertujuan untuk memberi kesedaran persekitaran secara pendidikan di dalam aspek perubahan cuaca, pengurusan sisa pepejal, cekap tenaga, produk mesra alam, dan pengurangan pelepasan karbon.

“Bahan bantu pengajaran dan pembelajaran yang akan digunakan untuk program ini dinamakan sebagai STEMSEL (Science, Tecnology, Mathematics, and Social Enterprise Lear­ning),” katanya.

Menurut Norzita, ROSE merupakan satu konsep yang diperkenalkan untuk mengurangkan jejak karbon harian (carbon footprint) iaitu mengurangkan (reduce), mengimbangi (offset), menggantikan (substitute) dan mempertingkatkan (enhance).

Ini kerana, ujarnya, pada tahun 2025 nanti, Putrajaya akan mengalami transformasi dari sebuah bandar raya dalam taman kepada bandar raya hijau rendah karbon menerusi pelaksanaan pelbagai program dan projek inisiatif hijau rendah karbon.

Jelasnya, penambahbaikan amalan bandar mampan dilaksanakan yang mana inisiatif pengurangan kesan karbon dilakukan menerusi pemeliharaan kawasan hijau, galakan komuniti yang mengamalkan gaya hidup hijau dan penggunaan tenaga alternatif.

Selain itu, katanya, pengurangan sisa serta galakan amalan semula di samping mengamalkan mod pengangkutan rendah karbon akan turut dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas