Berita

Santhara mahu jadi regu terbaik Annuar di KWP

- Diterbit 13 Mac 2020 6:57 AM MYT

PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Sri Dr. Santhara berazam untuk menjadi regu terbaik dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dalam memberikan perkhidmatan bagi warga Wilayah Persekutuan.

SANTHARA

Beliau berkata, pihaknya berkeyakinan Annuar dapat memacu Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) untuk jauh ke hadapan berdasarkan pengalaman luasnya dalam kerajaan sebelum ini.

“Saya berasa bertuah kerana dapat berkhidmat dengan seorang tokoh yang berpengalaman luas mengenai selok-belok pentadbiran kerajaan.

“Beliau (Annuar) telah berkhidmat di beberapa kementerian sebelum ini, saya yakin beliau dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik,” katanya kepada Wilayahku pada hari pertama beliau memulakan tugas, Rabu lalu.

Santhara berkata, Annuar merupakan seorang tokoh politik kanan yang dihormati semua pihak dan ia menjadi kekuatan serta kelebihan untuk kementerian.

Dalam pada itu, Santhara menyifatkan pelantikan sebagai Timbalan Menteri merupakan satu pengalaman yang baharu bagi dirinya dan gembira melihat sambutan baik daripada kakitangan kementerian.

“Saya lihat seluruh rakyat Malaysia amat mengharapkan kerajaan baharu ini lebih cekap dan lebih baik dalam mentadbir Malaysia,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas