Berita

AS tempah 200 juta lagi vaksin COVID-19

This picture taken on November 17, 2020 shows a syringe and a bottle reading "Vaccine Covid-19". - According to the World Health Organization, some 42 "candidate vaccines" against the novel coronavirus Covid-19 are undergoing clinical trials on November 17, 2020. (Photo by JOEL SAGET / AFP)
- Diterbit 27 Januari 2021 2:53 AM MYT

AMERIKA Syarikat (AS) menempah 200 juta lagi dos vaksin COVID-19 bagi memastikan 300 juta rakyatnya akan menerima suntikan menjelang akhir musim panas, umum pentadbiran Presiden Joe Biden pada Selasa.

Andai matlamat itu dicapai, bermakna hampir keseluruhan populasi AS iaitu seramai 330 juta orang akan menerima suntikan, lapor Agensi Anadolu.

Tempahan itu masing-masing terdiri sebanyak 100 juta dos vaksin Moderna dan Pfizer-BioNTech, kenaikan 50 peratus bekalan yang sebelum ini berjumlah 400 juta dos, kata Rumah Putih dalam satu kenyataan.

Pentadbiran Biden berusaha meningkatkan penghantaran vaksin ke seluruh negeri dan wilayah dari 8.6 juta dos seminggu kepada sekurang-kurangnya 10 juta atau sekitar 16 peratus. Rumah Putih komited untuk memastikan ia dapat dilaksanakan dalam tempoh tiga minggu lagi.

Terdapat kekurangan bekalan vaksin termasuk di California, Hawaii, Maryland, New York dan Virginia Barat.

Kekurangan bekalan dapat diatasi jika FDA memberikan kebenaran penggunaan kecemasan untuk vaksin keluaran Johnson and Johnson. Perkara itu mungkin dijangka selesai dalam beberapa minggu lagi apabila syarikat berkenaan mengemukakan permohonan selepas percubaan klinikal fasa tiga berakhir.

Syarikat itu dijangka mengumumkan keputusan percubaan minggu depan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas