Atlet Wilayah

Virandeep, kapten kriket T20 termuda dunia

VIRANDEEP, 'batsman' yang hebat beraksi.
- Diterbit 27 Januari 2021 3:05 AM MYT

PEMAIN kriket kebangsaan, Virandeep Singh, sudah mampu melakar sejarah pada usia yang sangat muda apabila berjaya menempah nama dalam rekod dunia sebagai kapten termuda Twenty20 (T20) di dunia ketika hanya berusia 20 tahun.

Gelaran itu hanya diketahui olehnya lima bulan selepas menyertai satu pertandingan kriket T20 menentang Vanuatu pada 29 September tahun lalu.

Pemain berusia 21 tahun ini juga meletakkan harapan yang tinggi buat pasukan Malaysia dalam Kelayakan Piala Dunia T20 pada tahun ini.

“Pasukan Malaysia mempunyai peluang yang cerah dan kami berharap untuk layak ke peringkat seterusnya.

“Saya sekarang berada dalam misi menaikkan berat badan, jadi saya akan makan dua kali ganda lebih banyak dari biasa iaitu 3,000 ke 4,000 kalori sehari sesuai dengan ketetapan indeks jisim tubuh (BMI).

“Saya percaya dengan persiapan yang menyeluruh kerana sukar untuk menjangka atau mengawal hasilnya tetapi apa yang boleh saya kawal adalah persiapan yang dilakukan.

“Jadi, saya bersedia secara mental, fizikal dan bekerja keras pada kemahiran saya supaya hasilnya akan seiring dengan usaha,” kata atlet ini kepada Wilayahku.

Batsman‘ berbakat ini yang juga adik kepada pemain kriket kebangsaan, Pavandeep, turut terkesan dengan pandemik COVID-19 yang sedang melanda dunia ketika ini.

“Sebagai seorang atlet, kami sudah terbiasa mengikuti latihan dan pertandingan setiap hari tetapi disebabkan wabak ini, kami perlu mencari semula semangat untuk meneruskan kerana kehidupan menjadi tidak lengkap tanpa cabaran.

“Buat seorang pemain kriket untuk mendapatkan pengiktirafan, penting untuk kami mengikuti pertandingan antarabangsa dan bermain di liga besar tetapi kerana situasi ini, peluang untuk membesar menjadi terbantut,” ujarnya lagi.

Virandeep sedar bahawa sukar untuk kriket menjadi salah satu sukan utama di Malaysia namun dia mahu melihat peruntukan buat sukan ini digunakan dengan sebaik mungkin.

“Saya ingin melihat ia digunakan untuk membantu pasukan lelaki kebangsaan untuk naik ke ranking yang lebih tinggi yang mampu mengubah pandangan terhadap kriket di Malaysia.

“Supaya lebih ramai anak muda akan mahu bermain sukan ini kerana kejayaannya dapat dibuktikan,” kata anak muda ini lagi.

Pada usia 15 tahun, dia telah membuktikan dirinya dengan menjadi pemain termuda untuk mewakili Malaysia dalam sukan kriket. – AFIFAH AFIZAL – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas