Selera

As Samad Café kongsi rezeki melalui amal kebajikan

ORANG ramai beratur untuk mengambil makanan di As Samad Café bermula jam 12 tengah hari.
- Diterbit 29 Oktober 2021 4:05 AM MYT

ISTILAH keuntungan amat sinonim dengan ahli perniagaan namun pengusaha makanan di Dagang Avenue Food Court, Mohd Rizal Othman, 38, mengambil pendekatan berbeza dengan membuka As Samad Café berkonsepkan kebajikan.

Diwujudkan tepat pada masanya tatkala negara dilanda pandemik COVID-19 yang menyebabkan ramai insan terkesan dan hilang punca pendapatan, As Samad Café terletak di Medan Selera Taman Dagang 2, Ampang itu benar-benar memberi impak dalam meringankan beban dan memberi bantuan dengan kadar segera berupa makanan tengah hari.

Mohd Rizal memberitahu beliau sudah lama bercita-cita untuk mewujudkan kafe yang mengamalkan konsep memberi makanan kepada sesiapa sahaja yang menginginkannya.

50 bungkusan makanan diedarkan setiap hari kepada sesiapa sahaja yang memerlukan.

“Saya menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 50 bungkusan makanan untuk diedarkan setiap hari dan dana yang digunakan adalah sumbangan orang ramai serta beberapa NGO yang turut membantu merealisasikan impian saya ini.

“Mungkin hari ini kita mempunyai sedikit rezeki yang boleh dikongsi bersama insan yang kurang bernasib baik dan mungkin esok adalah giliran kita pula menerima rezeki daripada orang lain. Itulah putaran roda yang telah dicaturkan oleh Allah Taala,” katanya.

Tambahnya, nama “As Samad” yang memiliki definisi tersendiri amat signifikan terhadap aktiviti kebajikan di mana “As Samad” merupakan salah satu daripada 99 Asmaul Husna yang membawa maksud “tempat bergantung”.

As Samad Café telah memulakan program pemberian makanan ini bermula 31 Ogos 2021 yang lalu dan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Keterlibatan pelbagai peringkat usia dan bangsa telah mewujudkan suasana harmoni dan secara tidak langsung memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.

Waktu operasi As Samad Café bermula pada hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 12 tengah hari sehingga makanan selesai diedarkan.

“Andai hari ini adalah permulaan untuk kita melakukan kebaikan, usah bertangguh lagi kerana hari esok belum tentu kita berkesempatan untuk menyantuni mereka,” pesan Pengerusi Preloved4Charity itu.

As Samad Café turut memberi peluang kepada insan di luar sana yang ingin turut serta dengan menyumbangkan dana dalam meneruskan kesinambungan program ini. Bagi insan di luar sana yang ingin turut serta dalam aktiviti kebajikan ini atau berhasrat untuk menyumbang dana, anda bolehlah melayari portal rasmi Facebook As Samad Café untuk maklumat lanjut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas